Mahathir dakwa ada usaha hancurkan Umno


Beliau berkata ada pihak mengadu-domba antara Najib dengan Muhyiddin
PETALING JAYA: Tun Dr Mahathir Mohamad mendakwa bahawa ada usaha sedang dibuat untuk melemah dan menghancurkan Umno dalam menghadapi pilihan raya umum (PRU) ke 13.
“Kononnya saya di belakang gerakan untuk menaikkan (Tan Sri) Muhyiddin (Yassin) mengganti (Datuk Seri) Najib (Tun Razak),” kata beliau.
Dr Mahathir berkata demikian dalam artikel bertajuk ‘Menghancurkan Umno’ di dalam blognya, chedet.cc/blog sebagai ulasan terhadap laporan FMT minggu lalu.
“Strategi pihak tertentu ini ialah dengan membuat tuduhan bahawa perjumpaan NGO ini sebenarnya bertujuan untuk menjatuhkan Najib, dan saya dan Muhyiddin adalah dalang yang bertanggungjawab.

“Tentulah Najib akan mempunyai syak wasangka terhadap kami berdua dan NGO berkenaan,” kata mantan perdana menteri itu merujuk kepada Pertubuhan Bekas Wakil Rakyat Umno (Penawar) yang dilaporkan mahu Najib meletak jawatan.

Kedudukan Najib tergugat

Menurut laporan tersebut, kedudukan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dalam Umno tergugat.
Sumber dalaman Umno mendakwa bahawa sokongan ahli parti diberikan kepada Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin dengan restu daripada Mahathir.
Mengulas lanjut laporan ini, Dr Mahathir berkata bahawa laporan tersebut akan melemahkan Umno dalam persediaan menghadapi PRU 13.
“Kesan dari laporan ini tentulah kecurigaan Najib terhadap timbalannya.  Apabila Najib mempunyai sangkaan buruk terhadap
Muhyiddin maka ahli-ahli UMNO pun akan berpecah dan memihak kepada Presiden atau Timbalan Presiden.
Dr Mahathir berkata dakwaan itu sekaligus menakutkan Penawar dan NGO lain kerana akan disyaki oleh Najib untuk menjatuhkannya.
“Mereka juga akan terdedah kepada tuduhan yang mereka adalah orang Mahathir dan Mahathir ingin menjatuhkan Najib,” katanya, menambah laporan sebegitu juga akan menyebabkan orang Melayu takut berpolitik.
Alasan yang diberi beliau: “Mereka akan terdedah kepada dakyah parti lawan yang memang pun ingin melihat mereka berpecah dan menjadi lebih lemah serta tidak dapat mempertahankan kepentingan orang Melayu sama sekali.
“Pergolakan akan berlaku secara serius dalam Umno dan ia akan menjadi lebih lemah untuk menghadapi PRU 13.”
Beliau secara sinis mengucapkan tahniah kepada pihak-pihak berkenaan yang “begitu cekap mengguna psikologi untuk menghancurkan Umno dengan menimbulkan keraguan dan syak wasangka antara pemimpin-pemimpin Umno serta ahli-ahlinya sesama sendiri dan terhadap kepimpinan Umno sekarang.

0 comments:

 
Powered By Blogger
Powered By Blogger
Powered By Blogger
© Grunge Theme Copyright by ustazazhargroup.blogspot.com | Template by Blogger Templates | Blog Trick at Blog-HowToTricks