SUARAM seru rakyat hadir kes mahkamah Lau Shu Shi


Suara Rakyat Malaysia (SUARAM) meyeru rakyat menghadiri kes mahkamah Lau Shu Shi dan memberi solidariti kepada demokrasi dan hak asasi manusia pada 20 Oktober 2010 (Rabu), jam 11 pagi di Makhamah Jenayah 1, Pulau Pinang.

Lau Shu Shi (gambar kanan) didakwa di bawah Akta Polis Seksyen 90 iaitu berkelakuan biadap dan mengeluarkan kata-kata dengan nada yang tinggi serta mempertikaikan tindakan polis dan enggan bertenang pada 11 Mei 2008.

Pada 11 Mei 2008, saudari Lau Shu Shi bersama aktivis-aktivis lain membuat laporan polis di Balai Polis Jalan Patani Pulau Pinang setelah rakan aktivis mereka yang menghadiri perhimpunan aman anti-ISA pada hari yang sama ditangkap secara kasar oleh polis.  Selepas selesai membuat laporan polis, Ketua Balai Polis Jalan Petani pada waktu itu, C/Insp Jamaluddin Ismail telah memberikan arahan untuk menahan Lau Shu Shi yang pada ketika itu cuba mempertahankan hak rakannnya untuk membuat laporan polis mengikut hasrat sendiri.  Lau Shu Shi dan Teh Chun Hong, seorang lagi aktivis, telah ditahan secara keras dan kemudian direman semalaman.
Dua tahun kemudian, iaitu pada 1 Ogos 2010, Lau Shu Shi menerima waran tangkap pada lebih kurang pukul 11 malam, ketika beliau berada di sebuah kedai makan di Pulau Pinang.  Sebelumnya, beliau berada di luar balai polis Jelutong untuk menunggu kawan-kawan yang ditangkap dalam perhimpunan aman ISA di Dataran Pidato, Padang Kota Lama Pulau Pinang.

Lau Shu Shi dibebaskan pada malam yang sama tetapi diwajibkan hadir ke Mahkamah Jenayah pada pukul 8.30 pagi keesokan harinya.  Seterusnya Lau Shu Shi telah didakwa di Mahkamah Majistret Jenayah George Town pada 2 Ogos 2010 dan tidak mengaku bersalah.  Kes mahkamah beliau telah ditangguhkan kepada 16 Ogos 2010 untuk sebutan.  Perbicaraan kes Lau Shu Shi akan diadakan pada 20 Oktober 2010.
Kami ingin menegaskan di sini bahawa pendakwaan yang hanya dibuat selepas dua tahun merupakan tindakan yang berniat jahat.  Pada dua tahun yang lalu, Lau Shu Shi membuat laporan polis terhadap keganasan polis yang memang berlaku dalam perhimpunan aman membantah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA).  Beliau sepatutnya mangsa dalam kes ini kerana beliau dilayan secara tidak profesional oleh polis yang menyalahgunakan kuasa dan seterusnya menangkap beliau selepas beliau membuat laporan polis.

Kami berpendapat bahawa pendakwaan Jabatan Penguam Negara (Bahagian Pendakwaan) ke atas Lau Shu Shi merupakan satu penindasan berlanjutan ke atas seorang aktivis hak asasi manusia.

Laporan polis dibuat oleh Lau Shu Shi bukannya tindakan individu, tetapi mewakili Suara Rakyat Malaysia (SUARAM) serta badan-badan bukan kerajaan (NGOs) dan individu-individu lain di seluruh negara yang memperjuangkan hak asasi.  Pendakwaan ke atas Lau Shu Shi juga merupakan penindasan terhadap SUARAM, badan-badan bukan kerajaan (NGO) dan juga penindasan ke atas mana-mana persatuan dan parti yang mempertahankan kebenaran dan menghormati hak asasi manusia.
Kesimpulannya, pendakwaan ke atas Lau Shu Shi merupakan satu titik hitam dalam usaha negara kita untuk mewujudkan sebuah negara yang mengamalkan sistem politik demokratik.  Ini telah bercanggah dengan Konsep 1 MALAYSIA, "Rakyat Didahulukan, Pencapaian Diutamakan".
Kami berpendapat bahawa tindakan Lau Shu Shi membuat laporan di balai polis merupakan pengamalan hak demokrasi individu dan menjalankan kewajipan sebagai seorang rakyat Malaysia.

Tindakan beliau tidak berniat buruk dan tidak bermotif jahat kepada mana-mana pihak.  Namun, pihak polis telah bertindak secara keras dan tidak profesional dalam menghalang Lau Shu Shi daripada melaksanakan tanggungjawab sebagai seorang warganegara yang prihatin terhadap hak asasi manusia.

*Kenyataan oleh Ong Jing Cheng selaku koordinator Suara Rakyat Malaysia (SUARAM) Cawangan Pulau Pinang,

0 comments:

 
Powered By Blogger
Powered By Blogger
Powered By Blogger
© Grunge Theme Copyright by ustazazhargroup.blogspot.com | Template by Blogger Templates | Blog Trick at Blog-HowToTricks