PRK Galas: Pengundi kaum asli menjadi rebutan

UMNO kini menyasarkan pengundi kaum asli, yang mencatat 16% daripada populasi kawasan DUN Galas dalam Pilihan Raya Kecil pada 4 November 2010.  Rancangan Ladang Rakyat di bawah Perbadanan Pembangunan Ladang Rakyat Negeri Kelantan (PPLRNK) telah dijadikan senjata UMNO-BN untuk menyerang kerajaan negeri Kelantan.
Malah, Perdana Menteri merangkap Pengerusi Barisan Nasional Najib Abdul Razak (gambar kanan) mengingatkan bahawa orang asli boleh menentukan sama ada BN menang atau tidak dalam PRK Galas, ketika merasmikan Perhimpunan Agung Tahunan MCA ke-57, pada 10 Oktober 2010.
Di ruang internet, Cyber-Trooper UMNO mula memainkan isu bagaimana projek Ladang Rakyat mengakibatkan orang asli kehilangan hak tanah.  Laman web bergelar "Media UMNO Malaysia" dalam Facebook, menyelar projek tersebut kerana memberi kesan yang besar terhadap penduduk asli, terutamanya di kawasan Lojing dan Pos Brooke.
Dalam artikel berjudul "Apa Sudah Jadi Ladang Rakyat" dan "Ladang Rakyat: PAS tak habis-habis jual temberang", kerajaan negeri Kelantan dituduh menggula-gulakan penduduk asli dengan janji, tetapi berakhir dengan penggondolan hutan.
Bernama pula memetik pandangan ahli parlimen Gua Musang, Tengku Razaleigh dan Timbalan Ketua UMNO Bahagian Gua Musang, Mat Yusof Abdul Ghanis bahawa PAS sememangnya menimbulkan ketidakpuasan pengundi, kerana tanah sebagai rezeki orang asli tidak diberikan geran, dan memberi kesan yang mendalam terhadap orang asli.
Bagaimanapun, ahli parlimen Kuala Krai-PAS Hatta Ramli dan EXCO Kelantan, Husam Musa (gambar kiri)  ketika dihubungi MerdekaReview berkata, mereka hanya boleh memberi respon setelah membaca laporan tersebut.
Projek "Ladang Rakyat" dimulakan kerajaan negeri Kelantan sejak tahun 2006 melalui PPLRNK, dengan tujuan untuk mengurangkan penyalahgunaan tanah kerajaan, meningkatkan pendapatan rakyat melalui penanaman dan membasmi kemiskinan.
Orang asli dikhianati?
Projek Ladang Rakyat ini dikatakan telah merampas hak tanah adat orang asli, apabila penerokaan dijalankan di situ.  Malah, penduduk kaum asal di situ mengadu bahawa pemimpin tempatan memaksa orang asli yang terlibat dalam projek tersebut untuk mengundi PAS.
Kamal (gambar kanan), 25, dari kawasan DUN Galas ketika berucap dalam forum terbuka berjudul "Polisi Tanah Orang Asli: Impaknya" anjuran Majlis Peguam Malaysia pada 9 Oktober 2010 berkata, pembalakan dan projek Ladang Rakyat adalah masalah yang berlanjutan di Kelantan, dan ia harus dihentikan.  Beliau menganggap terlalu banyak projek Ladang Rakyat dilaksanakan, dan orang yang menyokong projek Ladang Rakyat akan menyokong PAS.
Pengundi Galas ini juga berada dalam dilema, sama ada untuk menyokong PAS atau Barisan Nasional.  Beliau berkata, BN kini telah turun ke padang untuk berkempen, dan menawarkan perkhidmatan perubatan, pengangkutan dan sebagainya.  Kalau undi PAS, tanah akan termusnah; kalau undi BN, hanya enam ekar tanah diberi - kata Kamal yang masih keraguan untuk membuat keputusan.
Kamal memberi penilaiannya terhadap wakil rakyat dari parti berbeza, "dua-dua pun teruk", hanya menabur janji ketika kempen untuk pilihan raya, dan "balik tidur selepas menang".
Kamal yang berasal dari Pos Brooke ketika ditemuramah MerdekaReview berkata, sesetengah penduduk tempatan telah mendaftar untuk menyertai projek Ladang Rakyat, dan insentif RM200 akan diberikan setiap bulan kepada peserta.  Bagaimanapun, mereka diberitahu ahli PAS tempatan bahawa insentif ini akan dibatalkan seandainya mereka tidak mengundi PAS.
Kamal yang hadir ke forum bersama empat orang rakan sekampung berkata, orang asli akan mengundi parti politik yang benar-benar mampu membantu mereka.  Seandainya tiada parti yang mampu berbuat demikian, maka mereka tidak akan keluar untuk mengundi.
Pengundi kaum asli melonjak ke 1926 orang
Nisbah pengundi Melayu, Cina dan India menunjukkan penurunan jikalau dibandingkan dengan maklumat daftar pemilih ketika PRU ke-12.  Sebaliknya, bilangan dan nisbah pengundi kaum asli meningkat dari 1,066 kepada 1,926 orang, penambahan sebanyak 860 orang atau bersamaan 6.35%.
Sekali imbas, Allahyarham Che Hashim Sulaiman-PAS menewaskan calon UMNO Mohd Saufi Deraman dalam PRU ke-12 dengan majoriti 646 undi.  Jelas, peningkatan bilangan pengundi kaum asli semestinya akan menjadi rebutan kedua-dua parti politik.
Nisbah Kaum PRK 2010 PRU 2008
Melayu 7,125 (61.63%) 6,798 (65.81%)
Cina 2,317 (20.08%) 2,276 (22.03 %)
India 185 (1.6%) 187 (1.81 %)
*Lain-lain (termasuk kaum asli) 1,926 (16.67%) 1,066 (10.32%)
Jumlah 11,553 10,330






*Lain-lain terdiri daripada kaum asli, 1,889 orang (16.37%), bumiputera Sarawak 10 orang (0.09%) dan yang lain-lain 27 orang (0.23%), membawa jumlah kepada 1,926 orang (16.67%).
Apa yang menarik, UMNO-BN menyerahkan amanah "Pengarah Pilihan Raya" kepada Ketua UMNO Bahagian Gua Musang, Tengku Razaleigh Hamzah (atau dikenali Ku Li), dan bukannya kepada Timbalan Pengerusi BN merangkap Timbalan Presiden UMNO, atau Pengerusi Perhubungan Negeri UMNO seperti biasa.  Najib terpaksa menarik sokongan Ku Li yang disanjung tinggi di kawasan Gua Musang, salah satu daripada dua kerusi parlimen yang dimenangi UMNO-BN di Kelantan, daripada 14 yang dipertandingkan dalam PRU ke-12.
Tiga kawasan DUN yang berada di bawah kawasan parlimen Gua Musang termasuklah Galas, Nenggiri dan Paloh.  Selama ini kawasan tersebut dianggap kubu BN, berikutan pengaruh Ku Li.  PAS hanya berjaya menawan Galas dengan majoriti tipis (646 undi), sedangkan BN memenangi Paloh dengan majoriti 2,833 undi dan Nenggiri dengan majoriti 2,090 undi.
Daripada nisbah pengundi mengikut kaum, UMNO-BN berjaya meraih undi majoriti yang besar di Nenggiri yang mempunyai 85.78% pengundi Melayu, dan Paloh yang mempunyai 98.60% pengundi Melayu.  Justeru itu, UMNO-BN dipercayai mampu mengekalkan sokongan Melayu, dan menyasarkan pengundi bukan Melayu untuk memenangkan mereka.
Pemilihan calon
EXCO kerajaan negeri Kelantan Husam Musa memberitahu MerdekaReview, bahawa beliau mencadangkan agar PAS melantik calon dari kaum asli, yang tidak semestinya beragama Islam untuk menyarung jersi PAS dalam PRK Galas yang akan berlangsung dari 26 Oktober hingga 4 November 2010.
Bagaimanapun, sumber dalam parti memberitahu MerdekaReview bahawa calon PAS kemungkinan seorang doktor yang berasal dari Gua Musang, dan calon berketurunan kaum asli hanyalah strategi untuk mengelirukan musuh parti.  Sementara itu, UMNO-BN juga mungkin melantik seorang calon dari Bahagian Gua Musang, dan kita bakal menyaksikan pertarungan antara dua orang calon tempatan.

1 comments:

ZaHusNa Collections berkata...

saya suka blog ni....


http://tshirtmuslimah-zatajul.blogspot.com/2010/11/saya-suka-blog-awak-lar.html

 
Powered By Blogger
Powered By Blogger
Powered By Blogger
© Grunge Theme Copyright by ustazazhargroup.blogspot.com | Template by Blogger Templates | Blog Trick at Blog-HowToTricks