PM terbuka dengan idea benar mahasiswa sertai politik, kata Khairy

August 17, 2010
Khairy mahukan pelajar universiti terbabit dalam politik.
KUALA LUMPUR, 17 Ogos — Ketua Pemuda Umno Khairy Jamaluddin berkata, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak bersikap terbuka berhubung idea membenarkan mahasiswa dan pensyarah institusi pengajian tinggi awam menyertai politik tanpa halangan. Ahli Parlimen Rembau ini membeirtahu bahawa beliau ada membangkitkan perkara tersebut dengan Najib, yang juga Presiden Umno ketika berbual dengannya pada majlis berbuka puasa di Sri Perdana, Putrajaya semalam.
“(Saya) sempat berbincang beberapa isu bersama Perdana Menteri, antaranya penglibatan mahasiswa dalam politik. Pemuda BN tegas dengan pendirian. Perdana Menteri nampak terbuka,” kata Khairy yang juga Ketua Pemuda BN menerusi mesej ‘Twitter’ malam tadi.
Akhir bulan lalu, Khairy mengetengahkan langkah itu boleh melahirkan barisan pemimpin politik yang terbaik.
Oleh itu sudah tiba masa Akta Universiti dan Kolej Universiti 1971 dipinda bagi membolehkan penuntut universiti dan pensyarah melibatkan diri dengan politik, kata beliau.
Ia dirasakan perlu selaras dengan kelonggaran kepada guru-guru siswazah.
Bermula 1 Ogos lalu pegawai perkhidmatan pendidikan siswazah Gred DG41 hingga DG48 dibenarkan bertanding, dilantik atau memegang sebarang jawatan dalam parti politik.
Dalam mesej ‘Twitter’ minggu lalu, Khairy secara terbuka menyifatkan keputusan Kabinet untuk tidak membenarkan pelajar universiti menyertai parti politik sebagai satu pemikiran ketinggalan zaman dan tidak berani.
Pandangan itu dikeluarkan ekoran laporan Bernama yang menyebut Menteri Pengajian Tinggi Datuk Seri Khaled Nordin berkata Kabinet memutuskan untuk tidak menggugurkan peruntukan dalam Akta Universiti dan Kolej Universiti yang melarang pelajar universiti tempatan daripada menyertai politik secara aktif.
Bagaimanapun laporan itu ditarik kemudian, tetapi berita akhbar beberapa selepas itu turut memetik sumber mengatakan Kabinet mengekalkan larangan itu.
Timbalan Menteri Pengajian Tinggi Datuk Saifuddin Abdullah yang sebelum ini melahirkan idea itu dijangka membawa isu berkenaan ke mesyuarat Majlis Tertinggi Umno pada 27 Ogos ini.
Saifuddin berkata sudah tiba masanya Akta Universiti dan Kolej Universiti dikaji semula bagi membolehkan mahasiswa terlibat dalam politik.
Walaupun akta itu dipinda pada tahun 2008 di mana penuntut institut pengajian tinggi awam dibenar menyertai pertubuhan politik setelah mendapat kebenaran Naib Canselor, beliau berkata, peruntukan tersebut perlu dikaji semula.

0 comments:

 
Powered By Blogger
Powered By Blogger
Powered By Blogger
© Grunge Theme Copyright by ustazazhargroup.blogspot.com | Template by Blogger Templates | Blog Trick at Blog-HowToTricks