Isu Felda: PM kecewa Suara Keadilan tidak mohon maaf



KUALA LUMPUR, 9 Julai — Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak hari ini menggesa peneroka supaya tidak berasa tawar hati dengan laporan tidak tepat dalam media berhubung kedudukan kewangan Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (Felda).
“Saya dapati salah laporan ini adalah disengajakan dan satu penghinaan ke atas rakyat Malaysia ini yang telah bekerja keras dan cubaan terang-terangan untuk memperlekehkan usaha kerajaan meningkatkan taraf hidup mereka.
“Mereka mencemarkan bukan sahaja maruah Felda, tetapi juga semua individu yang telah bekerja keras yang merupakan sebahagian institusi ini,” katanya dalam blog beliau www.1malaysia.com.my .
Najib, yang menyifatkan Felda sebagai “amat istimewa bagi dirinya atas kepentingannya dalam sejarah negara ini dan kedudukannya yang begitu bermakna kepada beberapa generasi  Malaysia yang melalui peluh, darah dan air mata mereka yang telah mentransformasikan Felda kepada kedudukannya sekarang”, turut melahirkan rasa kecewa beliau kerana sehingga hari ini, “tiada permohonan maaf
dibuat untuk membetulkan dan menebus penghinaan ini.”
“Dan Felda berhak untuk mengambil tindakan undang-undang untuk menjaga integriti organisasi,” katanya.
Najib mengulas laporan muka depan Suara Keadilan, lidah rasmi Parti Keadilan Rakyat (PKR), bertajuk “Felda Bangkrap” dalam isu 22-29 Jun.
Perdana Menteri berkata setakat ini, Felda mempunyai simpanan wang tunai sebanyak RM1.3 bilion dan RM4 bilion dalam bentuk saham dalam pelbagai syarikat senaraian awam, diperoleh dengan pelaburan permulaan hanya RM844 juta.
Ladang komersil milik Felda dianggarkan bernilai sekurang-kurangnya RM10 bilion, dan sebanyak RM2.4 bilion dibelanjakan untuk tanaman semula bagi meningkatkan hasil sawit dan getah Felda.
Beliau berkata tahun lepas sahaja, Felda membayar zakat sebanyak RM26 juta.
“Sekiranya bankrap, sesebuah organisasi tidak diwajibkan membayar zakat, lagi membuktikan tuduhan ini tidak berasas langsung,” katanya.
Najib juga berkata untuk berkembang maju sebagai sebuah organisasi, Felda perlu bersedia untuk meneroka dan menjalankan perniagaan baru dan membangunkan barisan hadapan.
“Sebab itu kenapa Memorandum Persefahaman telah dimeterai untuk menjalin kerjasama strategik bagi Felda untuk menjadi pengeluar daging lembu dan susu terbesar  Malaysia. Sebanyak RM603 juta diperuntukkan oleh Felda yang ditawarkan sebagai pinjaman tanpa faedah kepada peneroka.
“Felda juga komited untuk meningkatkan peluang pendidikan, terbukti dengan perasmian MRSM Felda Trolak baru-baru ini, yang dibiayai sepenuhnya oleh Felda,” katanya.
Najib berkata pelaburan dan pembiayaan ini dibuat demi faedah peneroka dan rakyat Malaysia amnya, “tetapi tuduhan mengenai penyelewengan dana dan perbelanjaan tidak berhemah itu merupakan cubaan untuk memperlekehkan usaha berkenaan dan menghalang kerja kita.”
Kepada peneroka Felda, Perdana Menteri menasihatkan mereka supaya terus “ berusaha dengan gigih untuk keluarga, masyarakat dan negara anda”.
“Kami akan terus mencari jalan untuk meningkatkan taraf hidup golongan anda dan akan memastikan usaha anda mendapat pulangan sewajarnya,” katanya. — Bernama

0 comments:

 
Powered By Blogger
Powered By Blogger
Powered By Blogger
© Grunge Theme Copyright by ustazazhargroup.blogspot.com | Template by Blogger Templates | Blog Trick at Blog-HowToTricks