Obama Perlu Guna Kuasa Hentikan Kezaliman Rejim Zionis - Anwar




KUALA LUMPUR: Presiden Amerika Syarikat (AS), Barrack Obama perlu menggunakan kuasa dan pengaruhnya bagi menghentikan kezaliman rejim zionis, kata Ketua Umum Pakatan Rakyat, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
“Kita membantah keras terhadap kezaliman dan biadabnya tentera Israel yang terus mengganas seperti yang dialami Flotila Pembebasan dalam misi kemanusiaannya ke Gaza.
“Israel dapat melakukan semua ini kerana AS termasuk presidennya kurang tegas melarang kezaliman terus-menerus terhadap rakyat Palestin tidak kira orang Islam atau Kristian termasuk di Gaza.
“Justeru, kami meminta Obama menggunakan kuasa dan pengaruhnya supaya menghentikan kezaliman ini,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas perhimpunan di depan Kedutaan AS bagi menyatakan bantahan ekoran tindakan biadab rejim zionis menyerang kapal misi bantuan ke Gaza Isnin lalu.
Mengenai perhimpunan yang disertai kira-kira 10,000 orang itu, Anwar menyifatkan ia berjaya kerana mendapat komitmen sepenuhnya daripada masyarakat Islam dan bukan Islam.
“Kempen yang begitu kuat ini menunjukkkan kita semua berjuang demi menuntut keadilan dan membantah tindakan biadab rejim zionis itu,” ujarnya.
Ketika ditanya mengenai sesi khas Parlimen untuk membincangkan isu tersebut, Anwar menjelaskan kerajaan yang dipimpin Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak patut mengadakan sesi khas dan bukannya hanya mengemukakan usul.
“Kita perlu tindakan yang begitu jelas. Mengemukakan usul hanya mempunyai waktu bahas yang amat singkat.
“Sehubungan itu, kita memerlukan satu sesi khas bagi membolehkan semua Ahli Parlimen dan parti menyertainya,” katanya.
Perarakan aman yang bermula dari Masjid Jamek, Kampung Baru sehingga ke Kedutaan AS itu turut disertai Penasihat DAP, Lim Kit Siang, Timbalan Presiden PAS, Nasharudin Mat Isa, Ahli Parlimen Gombak, Azmin Ali dan Ahli Parlimen Shah Alam, Khalid Samad.

0 comments:

 
Powered By Blogger
Powered By Blogger
Powered By Blogger
© Grunge Theme Copyright by ustazazhargroup.blogspot.com | Template by Blogger Templates | Blog Trick at Blog-HowToTricks