UMNO tunjuk jalan keluar untuk MCA dan Gerakan



Dewan PEMUDA PAS Pusat (DPPP) mencadangkan agar Malaysian Chinese Association (MCA) dan Parti Gerakan Rakyat Malaysia (GERAKAN) menarik diri daripada menjadi komponen di dalam Barisan Nasional (BN).  Ini kerana sejak kebelakangan ini, beberapa pimpinan United Malaysian Nasional Organisation (UMNO) sudah mula mempertikaikan "jasa" MCA dan GERAKAN selama ini dengan menjadikan mereka sebagai "Punching Beg" akibat daripada merudumnya sokongan kaum Cina terhadap BN kebelakangan ini.
Yang terbaru, kenyataan daripada Naib Presiden UMNO yang juga Menteri Dalam Negeri, Hishammuddin Hussein Onn (gambar kanan) ketika merasmikan Mesyuarat Kelompok 33 caw. UMNO Bahagian Cameron Highlands di Sg.Koyan baru-baru ini.  Beliau berkata bahawa MCA harus membuktikan bahawa parti tersebut masih releven untuk masyarakat Cina.
DPPP berpendapat bahawa kenyataan beliau itu bolehlah dikategorikan sebagai "alasan pelepas diri" kerana sebagai salah satu parti komponen dan juga merupakan kerajaan yang memerintah, sepatutnya UMNO harus duduk bersama dan berbincang bagaimana untuk memantapkan lagi parti serta menarik kembali sokongan daripada kaum Cina kepada BN bagi menghadapi pilihan raya akan datang bukannya menghentam dengan berbagai alasan serta hanya menyalahkan satu pihak sedangkan undi melayu juga banyak memihak kepada Pakatan Rakyat (PR) pada Pilihan Raya Kecil (PRK) P094 Hulu Selangor yang baru lalu.
Sedangkan kalau dilihat sebelum ini terutamanya ketika PilihanRaya Umum (PRU) 1999, UMNO sendiri bergantung kepada undi Cina atau bukan Melayu untuk terus menjadi kerajaan.  Dan ketika itu MCA dan GERAKAN dilihat tidak pula menuding jari menyalahkan UMNO sebaliknya bertindak secara profesional walaupun pada dasarnya mereka boleh menyerang kepimpinan UMNO yang diterajui oleh Mahathir Mohamad.
Bukankah pengundi Cina lebih peka kepada isu-isu semasa yang boleh dikatakan berpunca daripada kerajaan BN sendiri seperti kes APCO, keselamatan, jenayah, rasuah dan banyak lagi?  Adakah hanya MCA dan GERAKAN sahaja parti di dalam BN? Bukankah UMNO sebagai parti tunjang kepada BN?  Mengapa UMNO tidak mahu melihat ini berpunca daripada kelemahan mereka sendiri?
DPPP merasakan sudah sampai masanya MCA dan GERAKAN memikirkan langkah-langkah yang perlu diambil dengan melihat apa yang telah berlaku mutahir ini.  Sudah sampai masanya mereka mengambil jalan keluar daripada BN dan menubuhkan parti baru iaitu gabungan MCA dan GERAKAN bagi menawan kembali sokongan kaum cina di negara ini.  Ataupun bergabung bersama PR dalam menghadapi PRU ke-13 akan datang kerana itu lebih baik memandangkan senario politik sekarang jelas memihak kepada PR jika diukur kepada keputusan PRK P094 Hulu Selangor yang lepas.
*Kenyataan media oleh Nasrudin Hassan Tantawi selaku Ketua Dewan Pemuda PAS Pusat.

0 comments:

 
Powered By Blogger
Powered By Blogger
Powered By Blogger
© Grunge Theme Copyright by ustazazhargroup.blogspot.com | Template by Blogger Templates | Blog Trick at Blog-HowToTricks