Sedih dengan pandangan Mahathir seolah-olah membakar perkauman Melayu



Saya amat sedih dengan komen Dr Mahathir yang membakar semangat perkauman Melayu dengan memberi sokongan kepada PERKASA diatas kegagalan UMNO memperjuangkan hak Melayu berhadapan dengan "ekstremis Cina". Menurut Mahathir, UMNO gagal berdepan dengan tuntutan "ekstremis Cina".
Suara seperti Mahathir ini adalah berbahaya. Ia mudah membakar semangat perkauman. Segala kegagalan Kerajaan mendepani masalah rakyat khususnya masalah orang Melayu diluar bandar dengan mudah boleh ditafsirkan oleh golongan rasialis sebagai "encroachment" Cina terhadap kedudukan ekonomi Melayu.
53 tahun UMNO memerintah Negara ini, tetapi oleh kerana pimpinan UMNO lebih ghairah memperkayakan golongan atasan Melayu dengan pelbagai keistimewaan menjadikan Melayu bawahan terus kekal mundur di Negara ini. Ini adalah salah UMNO, bukan salah Cina atau India.
Lihat pula kedudukan Orang Asal di Negara ini. Sungguh dhaif, sungguh miskin, dan mereka dipermainkan dengan janji-janji kosong oleh pimpinan UMNO.
UMNO telah gagal memerintah Negara ini menjadikan semua kaum berada didalam keadaan yang tersisih. Orang Melayu didalam keadaan itu mahu meyalahkan Orang Cina, manakala Orang Cina dan Orang India mahu menyalahkan Orang Melayu. Orang Asal dan Bumiputra yang tersisih menyalahkan kaum-kaum lain diatas kemunduran mereka, walhal ini adalah salah dan kegagalan UMNO.
22 tahun Mahathir memerintah Malaysia. Yang jelas kejayaannya adalah membawa projek-projek mega dan menghabiskan wang negara. Walhasil, rakyat bawahan tetap terpinggir didalam Negara sendiri.
Mari kita tidak bermain isu perkauman. Mari kita bersikap terbuka. Mari kita perjuangkan hak rakyat bawahan tanpa mengira kaum. Kita adalah rakyat Malaysia. Dari mana kita dahulunya datang tak usah menjadi bahan untuk dipolitikkan. Tak usah dileterkan bahawa kaum India di negara ini berasal dari India/Pakistan, orang Cina berasal dari China dan orang Melayu berasal dari kepulauan Melayu seperti Indonesia. Orang Asal yang mendahului kaum-kaum lain di negara ini juga berasal dari luar yang disejarahkan datang dari Yunan, Cina.
Kenapa kita mesti menunding jari kepada satu-satu kaum sebagai pendatang walhal kesemua kita adalah pendatang.
Saya tidak yakin Dr Mahathir itu lebih Melayu dari saya sedangkan mirip rupanya pun masih tidak terpisah dari mirip rupa suku kaum atau bangsa yang bukan berasal dari kepulauan Melayu. Tetapi saya tidak mahu bercakap tentang kaum.
Semua kaum adalah makhluk Tuhan, dan kita adalah rakyat Malaysia, tak kira Melayu Malaysia, Cina Malaysia, India Malaysia, atau Orang Asal Malaysia. Mari kita bersatu tanpa mengira kaum dan mari kita perjuangkan hak dan kepentingan rakyat semua kaum sebagai rakyat Malaysia, dan menjadi agenda utama kepada negara kita untuk memperjuangkan keadilan untuk semua dan lebih khusus untuk rakyat tanpa mengira kaum yang selama ini terpinggir dan tersisih.

0 comments:

 
Powered By Blogger
Powered By Blogger
Powered By Blogger
© Grunge Theme Copyright by ustazazhargroup.blogspot.com | Template by Blogger Templates | Blog Trick at Blog-HowToTricks