Saiful mengaku temu Najib sebelum lapor polis






karpal singh Oleh Jamilah Kamarudin
KUALA LUMPUR : Mohd Saiful Bukhari Azlan, saksi pertama perbicaraan tuduhan liwat terhadap Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini mengakui bertemu Perdana Menteri (Timbalan Perdana Menteri ketika itu), Datuk Seri Najib Tun Razak empat hari  sebelum membuat laporan polis.
Saiful, 25, pada awal prosiding soal balas yang bermula kira-kira 10.40 pagi tadi mengakui berjumpa dengan Najib di kediaman beliau (Najib) di Jalan Duta pada 24 Jun 2008, dua hari sebelum tarikh dakwaan beliau diliwat Anwar, seperti dalam laporan polis yang dibuatnya.

"Saya beritahu (Datuk Seri) Najib tentang masalah saya," kata Saiful ketika disoal ketua peguam yang mewakili Anwar, Karpal Singh di Mahkamah Tinggi di sini hari ini.
Beliau yang kelihatan gelisah sepanjang soal balas itu bagaimanapun tidak menjelaskan butiran perbincangannya dengan Najib pada ketika itu.
Saiful juga menyatakan beliau dihubungi polis SAC Rodwan Yusof untuk berjumpa di Hotel Mulia pada malam 24 Jun selepas bertemu Najib.
Sesi soal balas diteruskan apabila Saiful menyatakan beliau diperiksa oleh pegawai perubatan Hospital Pusrawi Kuala Lumpur Dr Osman Abdul Hamid dan mengadu sakit perut serta sakit di bahagian duburnya.
Karpal kemudiannya membaca salinan laporan perubatan yang dikeluarkan Dr Osman bahawa punca kecederaannya adalah disebabkan tusukan objek plastik.
Saiful bagaimanapun menafikan laporan pemeriksaan perubatan itu dan mendakwa ianya salah.
"Adakah anda berbohong? Ingat, doktor akan dipanggil untuk beri keterangan," tegas Karpal.
"Saya tidak tahu, kemungkinan doktor itu berbohong," balas Saiful.
Karpal, merujuk kepada laporan Hospital Kuala Lumpur, berkata tiada tanda parut atau kecederaan terbaru pada diri Saiful.
"Saya tidak tahu. Saya tidak dapat tengok (bahagian dubur)," katanya.
Saiful mendakwa, minyak pelincir digunakan sewaktu melakukan hubungan seks.
Karpal memohon supaya kenyataan beramaran Saiful dikemukakan, kerana mendakwa saksi tersebut tidak bercakap benar.
Karpal kemudiannya memohon prosiding ditangguhkan esok untuk membolehkannya membuat permohonan mendapatkan  kenyataan penuh daripada Saiful.
Anwar dakwa Najib rancang plot liwat 
Sementara itu, Anwar yang juga Ketua Umum Parti Keadilan Rakyat ketika ditemui pemberita di luar lobi mahkamah berkata secara keseluruhannya berpuas hati dengan sesi soal balas yang dilakukan Karpal apabila berjaya memperoleh satu testimoni berhubung  penglibatan Najib dengan kes ini.
"Hari ini saya bersyukur dapat sahkan penglibatan dua daripada pegawai kanan polis memanggil Saiful di satu hotel terkemuka sebelum laporan terhadap saya dibuat.
"Hari ini juga satu testimoni juga diperoleh yang menyatakan Saiful ada berjumpa pegawai Najib empat hari sebelum laporan polis  terhadap saya dibuat.
"Sesi kali ini merupakan bukti bahawa ada isu konspirasi mengenai penglibatan Najib dalam cubaannya membawa saya ke mahkamah dan mempengaruhi keputusan mahkamah," katanya.
Beliau turut mengulas mengenai keputusan hakim Mohd Zabidin Mohd Diah yang menolak permohonan Karpal pagi tadi untuk mendapatkan senarai nama saksi yang terlibat dalam kes ini.
"Ini merupakan pertama kali dalam sejarah kes jenayah nama saksi tidak diberikan dan sampai sekarang pendakwa gagal mengemukakakan nama saksi.
"Kes ini sangat tidak profesional, tapi ini dikira sebagai ‘kes istimewa’ jika membabitkan Anwar Ibrahim," kata Anwar.
Ketika prosiding bermula pagi tadi, peguam bela utama, Karpal Singh, memohon mendapatkan senarai nama saksi daripada pihak  pendakwaan tetapi ini tidak dibenarkan oleh Hakim Datuk Mohamad Zabidin Mohd Diah.
Selepas Karpal menyoal Saiful selama 45 minit, beliau membuat satu lagi permohonan iaitu bagi mendapatkan semua keterangan  bertulis daripada polis.
Hakim menangguhkan perbicaraan jam 12.30 tengahari tadi dan akan disambung jam 9.00 pagi esok.
Anwar dituduh meliwat bekas pembantunya Saiful di Kondomium Desa Damansara, Jalan Setia Kasih, Bukit Damansara pada 26 Jun 2008.  Jika sabit kesalahan, beliau boleh dikenakan maksimum penjara 20 tahun hingga boleh menamatkan karier politiknya.

0 comments:

 
Powered By Blogger
Powered By Blogger
Powered By Blogger
© Grunge Theme Copyright by ustazazhargroup.blogspot.com | Template by Blogger Templates | Blog Trick at Blog-HowToTricks