Provokasi Tak Mampu Halang Ribuan Rakyat Johor Dengar Amanat Anwar



Oleh Sidiqin Omar
JOHOR BAHRU 9 Mei - Ketua Umum KEADILAN, Datuk Seri Anwar Ibrahim menyeru rakyat Johor agar tidak takut untuk meninggalkan Umno dan Barisan Nasional kerana ramai daripada pengasasnya itu telah meninggalkan parti apabila melihat penyelewengan dan salahguna kuasa yang berlaku.
"Bahkan presiden pertama Umno, Dato Onn Jaafar, Perdana Menteri pertama, Tunku Abdul Rahman Putra, dan Perdana Menteri ketiga, Tun Hussein Onn turut meninggalkan parti dan melawan Umno," kata Anwar pada ceremah di Plentong Jumaat lalu.
Anwar berkata walaupun Johor dikatakan kubu kuat Umno namum beliau optimis dengan kemenangan Pakatan Rakyat di negeri itu pada pilihan raya umum ke-13 nanti melihat kepada gelombang sokongan rakyat kepada Johor yang semakin meningkat.
Ia berdasarkan sokongan serta sambutan yang menggalakkan daripada orang ramai terhadap program anjuran Pakatan Rakyat sejak akhir-akhir ini yang dahagakan maklumat terkini mengenai situasi politik dan ekonomi negara.
"Dengan izin Allah, kalau Selangor boleh kita tawan, tidak mustahil Johor pun boleh tumbang kepada kita. Yang penting kita istiqamah dan teguh dengan perjuangan," tegas Ahli Parlimen Permatang Pauh itu.
Walaupun program ceramah anjuran Pakatan Rakyat di Kempas dan Plentong diganggu polis dan provokasi daripada Pemuda Umno, namun ia tidak menghalang lebih 6,000 rakyat mendengar amanat Anwar dalam lawatan sehari beliau ke Johor untuk menemui pucuk pimpinan KEADILAN negeri serta rakyat.
Turut sama dalam ceramah yang diadakan termasuk Pengerusi DAP Johor, Dr Boo Cheng Hau, Yang Dipertua PAS Negeri Johor, Datuk Dr Mahfuz Omar, Ketua Angkatan Muda KEADILAN, Shamsul Iskandar Mohd Akin, Ahli Majlis Pimpinan Pusat KEADILAN, Datuk Chua Meng serta Pengerusi Majlis Pimpinan KEADILAN Negeri Johor, Anuar Saleh.
Dalam program di Taman Dahlia, Kempas, Anwar terpaksa memendekkan jadual beliau di situ selepas dinasihatkan pihak polis atas faktor keselamatan.
Pemuda Umno dikatakan datang ke majlis ceramah dan melakukan provokasi dengan membuat bising bagi menganggu perjalanan program.
Pihak polis jelas menunjukkan sikap berat sebelah apabila menahan Timbalan Ketua Pemuda PAS Johor, Suhaizan Kayat atas alasan menganjurkan perhimpunan tanpa permit.
Gangguan yang sama turut dilakukan oleh Pemuda Umno di Markaz PAS Taman Saujana, Plentong dengan bersorak dan menghamburkan kata-kata kesat, membakar mercun dan membaling objek ke arah orang ramai.
Tindakan kasar dan biadap Pemuda Umno itu hampir mencetuskan pergaduhan namun berjaya ditenangkan oleh petugas yang mengawal keselamatan.
"Ribuan yang hadir tanpa upah ini membuktikan ledakan suara rakyat Johor cuba dimusnahkan oleh gerombolan yang semakin gusar dan cemas.
"Kita akan teruskan ikhtiar untuk sampaikan maklumat kepada rakyat walaupun banyak halangan yang menduga kita.
"Tuan-tuan jangan layan provokasi mereka di luar sana. Kita patut berasa simpati kerana mereka tidak tahu apa yang mereka lakukan.
"Inilah akibatnya apabila pemimpin yang zalim terus memperbodoohkan rakyat. Anak-anak kita rosak kerana perbuatan mereka," kata Anwar kepada ribuan penyokong.
Beliau berkata ketakutan pimpinan Umno-BN kini semakin ketara.
Fitnah, dakwaan yang dilakukan dan usaha untuk menggantungnya dari Parlimen hanya akan menjadikan rakyat semakin jijik dengan tindakan Umno-BN.
 Persoalan yang dibangkitkan Ahli Parlimen Pakatan Rakyat tidak mampu dijawab, tetapi menggunakan kuasa majoriti yang ada untuk membungkam pandangan lain, kata Anwar.
Antara isu yang dikupas beliau termasuk isu keselamatan negara, pentadbiran yang pincang, kehakiman serta isu jenayah yang semakin meningkat.
 Anwar turut menyarankan anggota keselamatan supaya bersikap rasional dengan tidak membuta tuli mematuhi arahan tetapi melaksanakan tanggungjawab mengikut undang-undang.
"Paling baru kes Aminulrasyid. Arwah ditembak dan kini dalam siasatan. Kes Kugan dan Beng Hock belum selesai, datang pula kes terbaru. Macam mana kita nak yakin dengan keselamatan negara kita?" soal beliau lagi.

0 comments:

 
Powered By Blogger
Powered By Blogger
Powered By Blogger
© Grunge Theme Copyright by ustazazhargroup.blogspot.com | Template by Blogger Templates | Blog Trick at Blog-HowToTricks