PRK Sibu: Pakatan tonjol isu Aminulrasyid, kalimah Allah



SIBU, 9 Mei — Hari pertama kempen pilihan raya kecil Sibu semalam menjadi tumpuan dengan Pakatan Rakyat (PR) mengupas isu remaja Aminulrasyid Amzah yang mati ditembak polis dua minggu lalu dan polemik kalimah “Allah” yang  bertukar menjadi isu kontroversi nasional awal tahun ini.
PR khususnya DAP yang menurunkan wakilnya untuk merampas kerusi Sibu mendesak Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak agar membentuk satu suruhanjaya diraja untuk menyiasat insiden Aminulrasyid, pelajar dari Seksyen 11 Shah Alam mati ditembak pada 26 April lalu - sehari selepas pilihan raya kecil Hulu Selangor.
Penasihat DAP Lim Kit Siang dalam kempennya berkata, beliau akan meminta pengundi-pengundi Sibu agar menghantar mesej tegas kepada pentadbiran Najib jika panel khas itu tidak dibentuk selewat-lewatnya hari ini.
DAP menurunkan Pengerusi Sarawak Wong Ho Leng yang berhadapan dengan wakil Barisan Nasional Robert Lau Hui Yew dan calon Bebas Narawi Haron.
“Saya memberi masa sehingga 11 pagi (ini) kepada Najib untuk menubuhkan suruhanjaya diraja siasatan, yang diketuai oleh bekas Ketua Polis Negara Tun Haniff Omar untuk menyiasat kejadian Aminulrasyhid ditembak oleh polis dan juga kesemua kes tembakan polis atau jika tidak saya akan meminta pengundi Sibu agar menggunakan pilihan raya kecil ini supaya menghantar satu mesej yang jelas dan tegas (kepada kerajaan),” kata Ahli Parlimen Ipoh Timur ini dalam satu kenyataan yang dikeluarkan sempena pilihan raya kecil kerusi Parlimen Sibu.
Kini kes itu disiasat oleh pasukan siasatan dalaman polis dengan dipantau panel khas dibenuk Kementerian Dalam Negeri.
Penamaan calon berlangsung semalam.
Lim juga menekankan, Polis Diraja Malaysia juga berhadapan dengan krisis keyakinan serius ekoran insiden yang menimpa remaja berkenaan dan juga ekoran kecurian kereta rasmi Perdana V6 Ketua Polis Negeri Selangor baru-baru ini.
Kereta itu ditemui semula semalam.
Pemimpin ini juga mengkritik ekoran kegagalan kerajaan untuk mengambil serius syor-syor dikemukakan oleh Suruhanjaya Diraja Polis yang dibentuk enam tahun lalu.
“Disebabkan kerajaan Barisan Nasional telah gagal untuk mengambil kira syor-syor Suruhanjaya Diraja Polis dengan serius khususnya cadangan utama berkaitan pembentukan Suruhanjaya Bebas Polis Mengenai Aduan dan Salah Laku (IPCMC), tahap keyakinan polis berada di paras paling rendah pada masa sekarang,” kata Lim di Sibu semalam.
Lim juga bertanya mengapa Ketua Polis Negara dan Ketua Polis Negeri masih enggan memohon maaf ekoran kenyataan-kenyataan mereka melabelkan Aminulrasyid sebagai penjenayah ekoran kejadian itu.
Dalam perkembangan lain, DAP bertekad untuk membawa isu kontroversi berhubung penggunaan kalimah “Allah” dalam kempennya di Sibu dengan menegaskan Robert Lau tidak layak untuk mewakili masyarakat Kristian, pengundi majoriti di Sibu, jika beliau enggan bercakap mengenai isu berkenaan.
“Jika Robert Lau mahu menjadi Ahli Parlimen yang bersedia untuk bercakap bagi pihak kerusi Sibu yang majoriti pengundinya beragama Kristian, maka beliau mempunyai tanggungjawab moral untuk mengisytiharkan pendiriannya dalam isu panas ini supaya pengundi Sibu boleh memutuskan sama ada mereka boleh bergantung pada beliau atau tidak dalam isu ini,” kata Setiausaha Pengelola DAP Teresa Kok.
“Lau tidak boleh mengetepikan isu ini dengan hanya berkata agama sebagai satu perkara peribadi,” katanya yang turut turun berkempen di Sibu.
Kelmarin, Robert Lau berkata isu “Allah” tidak harus dijadikan modal kempen pilihan raya untuk mengelakkan politik dicampur aduk dengan agama.
Isu polemik kalimah Allah menjadi isu sejak 2007 selepas Kementerian Dalam Negeri menggunakan keputusan Kabinet 1986 untuk melarang bukan Islam daripada menggunakan sesetengah perkataan dalam bahasa Arab, antaranya “Allah” termasuk oleh akhbar mingguan Katolik Herald.
Bagaimanapun penerbit akhbar itu menang dalam kes mereka yang diputuskan akhir tahun lalu, tetapi ia berakhir dengan kontroversi apabila beberapa rumah ibadat diserang, kebanyakannya gereja.
Bagaimanapun Januari lalu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Nazri Aziz memberi jaminan kepada masyarakat Kristian di Sabah dan Sarawak bahawa larangan “Allah” tidak akan memberi kesan kepada mereka.
“Kerajaan BN pimpinan Umno menyukarkan penganut Kristian dengan melarang bahan-bahan agama dan kitab dari Indonesia sejak beberapa dekad lalu atas alasan kitab dan terbitan Kristian dari Indonesia menggunakan perkataan “Allah” untuk merujuk kepada Tuhan,” kata beliau dalam kenyataannya.
“Sebagai calon beragama Kristian, Robert Lau perlu menyatakan pendiriannya dalam isu Allah... beliau harus memberitahu kami sama ada beliau menyokong tindakan kerajaan BN dan sama ada beliau akan menjadi wakil BN robot di Parlimen jika dipilih dan akan menjadi satu jadi (wakil) cap getah dalam setiap keputusan dibuat oleh kerajaan BN,” kata beliau yang juga Exco kerajaan negeri Selangor.
Kira-kira 53 peratus daripada 55,000 pengundi di kawasan Sibu merupakan masyarakat Kristian.
Dalam pada itu, Setiausaha DAP Sarawak Chong Chieng Jen mendakwa Robert Lau tidak layak untuk menjadi anggota perundangan persekutuan jika beliau enggan membicarakan isu nasional termasuk polemik “Allah”.
“Skop tanggungjawab seseorang Ahli Parlimen bukan sahaja termasuk perkara yang berkaitan dengan bahagian diwakilinya, malah beliau juga harus mengambil berat soal pembangunan politik dan ekonomi negara dalam usaha mempertahankan hak penduduk kawasan diwakilinya,” kata Chong yang juga pengarah pilihan raya Sibu.
Pengundian akan berlangsung 16 Mei ini.

0 comments:

 
Powered By Blogger
Powered By Blogger
Powered By Blogger
© Grunge Theme Copyright by ustazazhargroup.blogspot.com | Template by Blogger Templates | Blog Trick at Blog-HowToTricks