PKPIM Mahu Keadilan Untuk Allahyarham Aminulrasyid



SHAH ALAM 4 Mei - Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia (PKPIM)  melahirkan rasa kecewa terhadap tindakan polis yang sepatutnya menjaga keselamatan serta pada masa yang sama memberikan keadilan kepada pelajar terutamanya kes seperti Allahyarham Aminulrasyid Amzah yang mati ditembak pada Isnin lepas.
Luahan tersebut disampaikan oleh Presiden PKPIM, Muhammad Faisal Abdul Aziz  yang turut hadir memberikan sokongan semasa sidang media yang diadakan di rumah Allahyarham semalam.
"Di peringkat persatuan pelajar, kita bukan mahu membesar-besarkan isu dan menyalahkan mana-mana pihak,
"Oleh sebab insiden tersebut melibatkan pelajar, kami berasakan bertanggungjawab khususnya berhubung keselamatan dan keadilan," ujar Faisal ketika ditemui selepas sidang media tersebut.
Pada masa yang sama, PKPIM juga kesal dengan tindakan polis yang  merekacipta bukti mengatakan kereta yang di pandu Allahyarham mempunyai senjata seperti parang dan sebagainya.
"Kita juga mendesak agar satu suruhanjaya yang bebas ditubuhkan seperti Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (SUHAKAM) dapat ditubuhkan secepat mungkin supaya  Allahyarham Aminulrasyid dan keluarganya mendapat keadilan," tegas Faisal kepada Suara Keadilan.
Dalam pada itu, PKPIM juga akan menganjurkan forum bertajuk "Keadilan untuk Adik Aminulrasyid" malam ini bertempat di Dewan Perhimpunan Cina Selangor Kuala Lumpur (KLSCAH).
Antara yang akan hadir adalah Peguam Bela keluarga Allahyarham Aminulrasyid, N.Surendran, Raja Badrolhisyam, Wong Chin Huat serta Sasterawan Negara, Datuk A.Samad Said yang juga akan menyampaikan puisi khas berhubung insiden tersebut.

0 comments:

 
Powered By Blogger
Powered By Blogger
Powered By Blogger
© Grunge Theme Copyright by ustazazhargroup.blogspot.com | Template by Blogger Templates | Blog Trick at Blog-HowToTricks