Perkasa serah memo desak lembaga pengarah Sime Darby berhenti..ha.ha..memo untuk judi halal tak de ke..!!!





KUALA LUMPUR, 24 Mei — Pertubuhan bukan kerajaan Melayu, Perkasa akan menghantar memorandum mendesak agar semua ahli lembaga pengarah meletakkan jawatan ekoran kerugian hampir RM1 bilion dialami oleh konglomerat Sime Darby.
Memorandum itu akan diserahkan petang esok.
“Kita mahu semua ahli lembaga pengarah meletakkan jawatan kerana kita tidak boleh terima apabila Sime Darby menanggung kerugian yang begitu besar.
“RM1 bilion bukan jumlah yang kecil jadi persoalannya bagaimana mereka boleh menanggung kerugian tersebut?” kata Ketua Wira Perkasa Arman Azha Abu Hanifah ketika dihubungi The Malaysian Insider.
Sebelum ini, bekas perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad mahu kesemua mereka yang bertanggungjawab terhadap kerugian yang dialami Sime Darby tanpa hanya dibebankan ke atas Ketua Eksekutif Kumpulan yang telah diminta agar bercuti sebelum tamat kontrak.
Bekas presiden Umno ini berkata beliau “merasakan tanggungjawab ini seharusnya dikongsi bersama.”
Dr Mahathir melontarkan pandangan ini ketika Pengerusi Sime Darby Tun Musa Hitam berkata beliau sedia meletakkan jawatan bagi memikul tanggungjawab atas apa yang dialami syarikat itu sekarang.
Sebelum ini, Perkasa, antara pihak yang mendesak agar kesemua ahli lembaga pengarah Sime Darby Berhad harus meletakkan jawatan bagi memikul yang direkodkan berikutan lebihan kos dalam beberapa projek tenaga dan utiliti konglomerat itu.
Perkasa menegaskan beban tanggungjawab tidak harus diletakkan pada bahu Presiden dan Ketua Eksekutif Kumpulan Sime Darby, Datuk Seri Ahmad Zubir Murshid semata-mata, yang telah diminta bercuti sementara kontraknya berakhir 26 November ini.
Selain itu, Perkasa juga mendesak kerajaan menubuhkan jawatankuasa khas termasuk jika perlu suruhanjaya diraja untuk menyiasat ‘krisis’ korporat terbaru negara ini.
Musa berkata, berikutan lebihan kos itu, Sime Darby bakal kerugian RM964 juta bagi separuh kedua tahun kewangan 2010 bagi projek hidroelektrik Bakun (RM450 juta), Maersk Oil Qatar (MOQ) (RM159 juta) dan pembinaan kapal bagi projek MOQ (RM155 juta).
OSK Research Sdn Bhd berkata, punca bagi masalah Sime Darby adalah kerana syarikat itu adalah terlalu besar dan terlalu dipelbagai untuk diurus dan dikawal dengan betul.
Oleh kerana itu, adalah tidak wajar untuk menyalahkan kos konglomerat yang berlebihan sebanyak RM964 juta itu dipertanggungjawabkan kepada Zubir semata-mata.
Dalam pada itu, Ahli Parlimen Ampang, Zuraida Kamaruddin mahu Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menyiasat dan mengambil tindakan terhadap Pengerusi Sime Darby ekoran kerugian hampir RM1 bilion dialami oleh syarikat tersebut.
“SPRM perlu bertindak dan membuat siasatan terperinci terhadap Musa mengenai kerugian tersebut.
“Selama ini Sime Darby mempunyai imej yang bersih tetapi bagaimana tiba-tiba mereka boleh mengalami kerugian yang besar.
“Mungkinkah terlalu banyak penyelewangan yang berlaku menyebabkan mereka menanggung kerugian tersebut?” katanya.
Zuraida berkata tindakan Musa untuk meletakkan jawatan adalah tidak profesional dan tidak bertanggungjawab.
“Beliau (Musa) perlu bertanggungjawab ke atas kerugian yang ditanggung oleh Sime Darby tetapi bukannya dengan meletakkan jawatan.
“Letak jawatan ini cara orang penakut, bila ada masalah letak jawatan. Ini bukannya jalan penyelesaian tapi cara penakut,” kata Ketua Wanita PKR ini.
Beliau berkata, sebuah syarikat awam yang sepatutnya memacu ekonomi negara akhirnya mengalami kerugian besar atas sebab-sebab yang tidak diketahui.
“Sime Darby adalah sebuah syarikat awam yang diharapkan untuk memacu ekonomi negara tetapi akhirnya mereka mengalami kerugian besar.
“Bagaimana perkara sebegini boleh berlaku?
“Ini bukan sahaja melibatkan isu negeri tetapi isu nasional dan ekonomi juga. Jadi satu penjelasan perlu dibuat menganai perkara ini,” katanya lagi.

0 comments:

 
Powered By Blogger
Powered By Blogger
Powered By Blogger
© Grunge Theme Copyright by ustazazhargroup.blogspot.com | Template by Blogger Templates | Blog Trick at Blog-HowToTricks