Pegawai Memerintah KD Inderapura dipecat



Pegawai Memerintah KD Sri Inderapura yang terbakar pada Oktober 2008, ditamatkan perkhidmatan dalam Angkatan Tentera Malaysia selepas Mahkamah Tentera mendapati beliau bersalah atas dua pertuduhan berhubung kejadian itu.

Panglima Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM), Laksamana Tan Sri Abd Aziz Jaafar, berkata hukuman berhubung pertuduhan kehilangan kapal logistik terbesar TLDM akibat kebakaran itu disahkan bulan lalu.

"Kita bol
eh mengalami kebakaran di atas kapal tetapi kita tidak boleh kehilangan kapal akibat kebakaran. Ini adalah kes pertama yang menyebabkan kehilangan aset TLDM akibat kebakaran," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas majlis penganugerahan Beret Kehormat Pasukan Khas Laut (Paskal) Sayap Penerbangan Kehormat kepada Menteri Pertahanan Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi di Pangkalan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) di Lumut.

Abdul Aziz berkata walaupun pegawai berkenaan telah menyumbangkan perkhidmatan yang cemerlang dalam TLDM namun setiap perkara yang berlaku pada sebuah kapal adalah di bawah tanggungjawab pegawai memerintahnya.

Akibat kejadian kebakaran pada 8 Okt 2008, KD Sri Inderapura yang berkhidmat 14 tahun bersama-sama TLDM dengan memainkan peranan cemerlang sebagai kapal logistik terbesar TLDM serta pelbagai misi dan operasi yang melangkaui sempadan perairan negara telah dilucutkan tauliah pada 21 Jan lalu.

Sementara itu, Ahmad Zahid (bawah) berkata TLDM perlu menjadi pasukan yang bukan sahaja menepati piawaian tertentu malah segala aset, keperluan dan kesiapsiagaan berada di tahap tertinggi.

"Peranan TLDM dalam membantu syarikat perkapalan dalam Ops Fajar telah mendapat pengiktirafan pasukan maritim dunia. TLDM kini diangkat sebagai satu penanda aras baru bagi menjaga aset negara di perairan antarabangsa. Ia turut diikuti oleh negara-negara lain," katanya.

Beret dan Sayap Penerbangan Kehormat diberikan kepada tokoh tertentu bagi mengenangkan jasa dan bakti sesuai dengan sumbangan mereka kepada pasukan tertentu dan TLDM di peringkat antarabangsa.

Sayap Penerbangan Kehormat merupakan lencana yang dianugerahkan sebagai tanda penghormatan dan pengiktirafan dalam menghargai jasa individu atau personaliti yang banyak menyumbang serta menabur bakti kepada pembangunan memajukan cawangan udara secara langsung atau tidak langsung.

- Bernama

0 comments:

 
Powered By Blogger
Powered By Blogger
Powered By Blogger
© Grunge Theme Copyright by ustazazhargroup.blogspot.com | Template by Blogger Templates | Blog Trick at Blog-HowToTricks