Pasukan petugas PAS mula tiba di Sibu



SIBU, 6 Mei: Gelombang pertama pasukan petugas PAS bagi membantu Pakatan Rakyat dalam pilihan raya kecil Sibu mula sampai di lapangan terbang Sibu jam 4.30 petang tadi.

Yang mula tiba adalah Timbalan Pengarah Pilihan raya PAS Pusat, Datuk Wan Abdul Rahim di samping dua lagi petugas (gambar). Malam ini, lapan orang lagi akan tiba ke Sibu.

Menurut Wan Johari Wan Omar, salah seorang petugas PAS itu, kumpulan pertama ini akan berada di Sibu sehingga 10 Mei dan akan disambung oleh petugas yang lain.

Turut tiba bersama beliau di Sibu adalah pemimpin DAP, Lim Kit Siang dan Teresa Kok, kata Wan Johari kepada Harakahdaily.

Sebelum ini, Wan Rahim yang juga anggota Parlimen Kota Bharu berkata, beliau akan membantu Pesuruhjaya PAS Sarawak dalam memastikan kemenangan calon DAP dalam pilihan raya ini.

"Kami akan menumpukan gerak kerja di Dun Nangka yang majoriti pengundinya adalah Melayu Melanau yang beragama Islam," kata Wan Rahim kepada Harakahdaily semalam.

Kerusi Palimen Sibu mempunyai kira-kira 54,695 pengundi berdaftar termasuk 2,537 pengundi pos.

Mereka termasuk 5,740 Melayu (10.5 peratus), 36,389 Cina (66.7 peratus), 12,050 Iban (22.1 peratus), 54 India (0.01 peratus) dan kaum lain 289 (0.53 peratus).

Dalam pilihan raya Sarawak 2006, DAP telah mendapat enam kerusi DUN dan PKR mendapat satu kerusi. Ia dimenangi di kawasan majoriti Cina.

Sejak itu, ia terus berkembang dengan sokongan pengundi Cina kepada Pakatan semakin meningkat.

Dalam pilihan raya kecil Bukit Gantang, PAS mendapat 82 peratus sokongan di kawasan yang mempunyai Cina yang ramai iaitu di Kuala Sepetang. Dalam pilihan raya kecil Hulu Selangor pula, calon PKR mendapat 80 peratus undi di Kampung Rasa iaitu kawasan yang mempunyai pengundi Cina yang ramai.

Pengerusi DAP Sarawak, Wong Ho Leng sekali lagi dipilih sebagai calon Pakatan Rakyat (PR) untuk pilihan raya kecil ini. BN pula memilih Robert Lau Hui Yew sebagai calon.

Dalam pilihan raya umum 2008, Wong dan calon PKR Lim Chun Chung tewas kepada calon BN, Datuk Robert Lau Hoi Chew dengan majoriti 3,549 undi.

Kerusi parlimen Sibu kosong ekoran kematian penyandangnya Robert akibat barah pada 9 April lalu.

0 comments:

 
Powered By Blogger
Powered By Blogger
Powered By Blogger
© Grunge Theme Copyright by ustazazhargroup.blogspot.com | Template by Blogger Templates | Blog Trick at Blog-HowToTricks