Pastikan Projek 'Little India' Untungkan Penduduk, Penjaja




Oleh Frederick Luccas
KUALA LUMPUR 9 Mei - Ahli Parlimen Lembah Pantai, Nurul Izzah Anwar berkata projek pembangunan 'Little India' di Brickfields yang dilaksanakan oleh Kementerian Wilayah Persekutuan dan Kesejahteraan Bandar mesti memberi jaminan dan perlindungan kepada kebajikan dan kesejahteraan penduduk serta para penjaja setempat selepas projek itu selesai.
Sehubungan itu Nurul Izzah mencadangkan empat langkah yang harus diambil kerajaan berhubung projek tersebut bagi memastikan impak pembangunan tidak memberi kesan negatif kepada penduduk setempat dan serta penjaja di kawasan berkenaan.
Antara cadangan yang dikemukakan ialah supaya pihak kementerian memastikan projek ini dilaksanankan sepenuhnya sehingga selesai agar ia tidak menjadi satu lagi projek terbengkalai Barisan Nasional.
Rundingan berterusan juga perlu diadakan dengan warga dan penjaja Brickfields bagi menyelesaikan sebarang masalah berbangkit yang mungkin boleh melambat atau menjejaskan perjalanan projek.
"Penyertaan rakyat dalam membuatan keputusan adalah kunci kepada pembangunan dan pentadbiran yang adil serta telus.
"Memandangkan jumlah Orang Kurang Upaya adalah tinggi di Brickfields, kami juga meminta kerajaan
menunjukkan keprihatinan dengan membangunkan kawasan ini menjadi mesra OKU," kata Nurul Izzah pada sidang media selepas perbincangan mengenai projek 'Little India' bersama penduduk di Brickfields pagi tadi.
Nurul Izzah juga menggesa kedai yang menjual minuman keras tanpa lesen ditutup dan meminta kawalan yang lebih ketat ke atas kedai berlesen sedia ada.
Langkah ini bagi pembangunan yang di bawa projek ini tidak menjurus kepada masalah sosial kepada penduduk setempat, terutamanya dikalangan golongan muda Brickfields.
"Bantahan keras saya bersama penjaja dan penduduk Brickfields terhadap cara perlaksanaan projek ini bukanlah untuk memudaratkan atau menghasut orang ramai supaya menolak pembangunan yang ingin di bawa oleh kementerian.
"Sebaliknya saya percaya kepada pembangunan yang tidak mengenepikan suara kecil rakyat yang terjejas dan yang tidak melihat kepada keuntungan semata-mata. Ini adalah bentuk pembangunan yang akan memberikan manfaat kepada masyarakat setempat", tegas beliau lagi.
Beliau menambah atas desakan penjaja dan penduduk Brickfields, kementerian telah bersetuju untuk mempamerkan 'blueprint' projek tersebut supaya golongan yang berkepentingan di Brickfields mendapat maklumat yang mencukupi dan memahami situasi projek tersebut.
Projek 'Little India' adalah satu projek untuk menaiktaraf kawasan Brickfields termasuk lokasi baru kepada 67 penjaja, di mana 17 daripadanya tidak mempunyai lesen.
Projek ini mencadangkan supaya jalan utama dijadikan jalan sehala tetapi masyarakat setempat menyuarakan kebimbangan kerana langkah ini boleh mendatangkan kesan negatif kepada penduduk setempat dalam jangka masa panjang.

0 comments:

 
Powered By Blogger
Powered By Blogger
Powered By Blogger
© Grunge Theme Copyright by ustazazhargroup.blogspot.com | Template by Blogger Templates | Blog Trick at Blog-HowToTricks