Manikavasagam terima cabaran MB Selangor, dedah nama esok

 
KUALA LUMPUR, 10 Mei — Ahli Parlimen PKR Kapar, S. Manikavasagam (kiri) menyahut cabaran Menteri Besar Selangor dan akan mendedahkan nama tiga pegawai atasan syarikat pasir Kumpulan Semesta Sdn. Bhd. yang didakwanya amalkan rasuah, esok.
“Saya dengar Tan Sri Khalid mahu saya mendedahkan nama-nama itu, saya terima cabaran Tan Sri Khalid... saya akan umumkan nama-nama itu hari Selasa (esok)... tunggu tempoh 72 jam (yang diberikan) berakhir,” kata Manikavasagam ketika dihubungi The Malaysian Insider.
Kata beliau, Setiausaha Politik Menteri Besar Selangor, Nik Nazmi Nik Ahmad juga ada menghubunginya semalam untuk mendapatkan butiran berhubung kes tersebut.
“Malah, saya juga ada memberitahu Nik Nazmi bahawa saya akan membantu dalam kes ini,” katanya.
Pada masa yang sama, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) juga mula mencari beliau dan dijangka menemuinya pagi ini.
“Saya dicari SPRM sejak pagi tadi (semalam). Saya memberitahu mereka (pegawai SPRM) boleh datang ke pejabat saya pagi esok (pagi ini),” kata Manikavasagam sambil menambah, suruhanjaya itu mahu mengambil keterangan daripadanya berhubung pendedahan terbaru ini.
Bagaimanapun Manikavasagam menegaskan, beliau tidak akan mendedahkan maklumat kepada SPRM selepas beberapa aduan yang dibuat sebelum ini tidak memperlihatkan kesan.
“SPRM boleh datang untuk jumpa saya, tetapi kali ini saya tidak akan memberikan bukti-bukti berhubung kes ini. Dulu mereka pernah soal siasat saya sampai awal pagi bagi kes-kes yang saya tidak pernah membuat aduan. Apa sudah jadi dengan kes-kes itu?
“Mereka layan kes-kes menyentuh kami (Pakatan Rakyat) dan Barisan Nasional berbeza, saya tahu mereka hendakkan maklumat kes ini, mahukan maklumat untuk menjatuhkan kerajaan negeri Selangor... saya tidak akan layan mereka kali ini,” tegasnya.
Petang semalam, Menteri Besar Selangor meminta Ahli Parlimen Kapar itu agar mendedahkan nama pegawai atasan Kumpulan Semesta yang didakwanya mengamalkan rasuah.
Manikavasagam dalam kenyataan dilihat sebagai kata dua kepada Khalid, memberi tempoh 72 jam kepada Menteri Besar agar membersihkan pentadbirannya daripada amalan rasuah.
Beliau yang pernah memberi kata dua kepada Khalid ekoran masalah dalaman awal tahun lalu, mahu Pengerusi PKR Selangor itu
supaya segera membuang tiga kakitangan syarikat pasir Kumpulan Semesta kerana mengamalkan rasuah mencecah ratusan ringgit setiap bulan.
Jika tidak, kata anggota Majlis Pimpinan Pusat PKR itu, beliau akan mendedahkan segala maklumat, yang didakwa ada di tangannya sekarang kepada umum.
Tempoh 72 jam itu berakhir esok.
Khalid memberitahu, Manikavasagam tidak harus bimbang untuk menyampaikan maklumat mengenai sebarang bentuk penyelewengan yang disyaki supaya kerajaan negeri dapat menjalankan siasatan.
Manikavasagam mengulangi bahawa kata dua itu bukan bertujuan mengugut atau menjejaskan imej kerajaan negeri tetapi mahu membetulkan “rumah sendiri” dalam usaha membanteras rasuah di kalangan pemimpin dan pegawai Pakatan Rakyat.
“Saya cuma mengambil kata-kata Ketua Umum (Pakatan Rakyat) Datuk Seri Anwar Ibrahim bahawa mana-mana pegawai dan pemimpin parti yang amalkan rasuah, walaupun menerima tanah suku ekar, akan diambil tindakan.
“Jadi, saya pegang pada kata-kata Datuk Seri Anwar. Oleh itu saya berharap Menteri Besar akan mengambil tindakan ke atas pegawai-pegawai beliau,” kata beliau.
Manikavasagam juga berkata, kata dua itu bukan bayangan beliau akan keluar PKR dalam waktu terdekat.
“Tidak, tidak... saya tidak akan keluar parti. Saya tidak berlawan dengan Menteri Besar. saya cuma mahu membersihkan rumah saya (parti dan kerajaan) terlebih dahulu,” katanya.

0 comments:

 
Powered By Blogger
Powered By Blogger
Powered By Blogger
© Grunge Theme Copyright by ustazazhargroup.blogspot.com | Template by Blogger Templates | Blog Trick at Blog-HowToTricks