Kuasai penyebaran maklumat - Ahmad Yakub



TEMERLOH, 8 Mei: PAS tetap mempunyai potensi yang amat cerah untuk dipilih oleh rakyat sebagai pemimpin politik yang berkuasa walau pun berada dalam negara yang berbilang kaum dengan syarat petugasnya dapat menguasai penyebaran maklumat kata Timbalan Ketua Dewan Ulama PAS Pusat, Datuk Ahmad Yakub.

Berucap pada merasmikan Muktamar Tahunan Dewan Ulama PAS Pahang kali Ke 20, di Dewan Datuk Abu Samah, Pejabat Badan Perhubungan PAS Pahang, Ahmad berkata hasil kajian yang dilakukan PAS terutama di Kelantan mendapati rakyat di negara ini tidak mengambil kisah siapa yang memerintah asalkan mereka boleh hidup dalam suasana aman dan selesa.

Oleh yang demikian itu kata Ahmad lagi adalah tersangat penting bagi petugas parti terutama ulama memainkan peranan secara aktif mendekati rakyat dan menerangkan mereka secara menyakinkan dasar Islam yang adil  apa lagi dalam suasana parti-parti utama Umno BN yang begitu korup sekarang ini.

“Dalam kajian kita rakyat tak kisah siapa yang memerintah asalkan mereka boleh hidup selesa. Ini bermakna potensi PAS untuk dipilih sebagai pemerintah juga amat tinggi.

"Sebab itu adalah amat penting untuk kita merancang bagaimana kita dapat menguasai penyebaran maklumat yang boleh memberikan gambaran yang meyakinkan rakyat terhadap pemerintahan Islam yang adil,” katanya.

Turut disentuh oleh Ahmad yang juga Timbalan Menteri Besar Kelantan berkaitan dengan perlunya ahli PAS memperkukuhkan nilai persaudaraan yang tinggi dalam jamaah agar kerja-kerja parti dapat berjalan dengan baik dan rakyat dapat menilai keikhlasan perjuangan yang dibawa.

”Di zaman nabi kita Muhamad saw, beliau telah memperkukuhkan nilai persaudaraan Islam di kalangan sahabat bukan sahaja dengan mendirikan institusi masjid tetapi juga mempersaudarakan antara muhajirin dan ansar. Memperkukuhkan persaudaraan, membantu sahabat yang dalam kesusahan. Ini penting bukan sahaja untuk kepentingan menjaga jamaah tetapi juga suatu tasawyur untuk di nilai oleh masyarakat,” katanya.

Turut hadir sebagai pemerhati Mutamar, Bendahari Badan Perhubungan PAS Pahang, Musanif Abdul Rahman.

0 comments:

 
Powered By Blogger
Powered By Blogger
Powered By Blogger
© Grunge Theme Copyright by ustazazhargroup.blogspot.com | Template by Blogger Templates | Blog Trick at Blog-HowToTricks