Tan Sri

Masa saya kecik-kecik dulu sehinggalah saya habis sekolah menengah, seingat saya, rumah yang paling besar di kampung saya ialah rumah Mustapha Hussain (lihat cerita mengenainya dalam posting Gombak Rock 3/5/09 bertajuk "The Ballad of Mustapha Hussain"). Rumah kedua terbesar dan selang sebuah rumah dengan rumah Mustapha ialah rumah Brigadier (B) Mohammed Noor Haji Tamin (beliau banyak menolong saya ketika saya ditangkap dan dibelasah polis ketika saya Form One dulu - masa tu bukan kena tangkap fasal tulis blog tetapi fasal saya budak jahat. Tuan Norbet juga selalu mengupah saya menebas dan membersihkan kawasan rumahnya. Sebagai budak miskin, saya seronok sangat apabila dia ajak masuk ke dapurnya selepas menebas untuk minum bersama. Sambil minum, rajin juga dia menceritakan zaman kegemilangannya sebagai pegawai tinggi tentera).

Masa saya sekolah, bukan sahaja saya tak berani rapat dengan orang-orang yang di anggap orang kaya di kampung saya, rumah mereka pun saya tak berani dekat. Maklumlah, saya budak miskin. Sebab itu saya tak berapa kenal Mustapha dan keluarganya, melainkan salah seorang anaknya yang sangat baik dan tidak kekok menegur budak-budak miskin seperti saya, iaitu Kak Cik Yang (Najilla).

Kali terakhir saya bertemu dengan Kak Cik Yang ialah pada awal lapan puluhan ketika menunggu bas di Lebuh Ampang. Dia mengajak saya ke rumahnya di Hulu Klang. Waktu itu, dia beritahu saya, keluarganya sudah berpindah ke Hulu Klang. "Pak Njang (Mustapha) pun duduk sini," katanya kepada saya.

Pengalaman saya bergaul dengan Mustapha ialah apabila saya sudah habis sekolah menengah. Bila dia keluar ke kedai kopi ditemani Tok Ngah Ndan, saya selalu bersembang dengannya. Oleh kerana saya peminat politik, saya selalu bersembang dengannya. Kadang-kadang bertengkar. Biasanya, dia akan kalahkan saya dengan kata-kata "hang tak habis mengaji lagi. Hang pi mengaji dulu".

Mustapha juga selalu memberi motivasi kepada saya. Saya tahu dia bukan seseorang yang disenangi kerajaan. Tetapi dia dapat membina hidupnya sebagai agen insuran. Kalau tak silap, AIA. Rajin juga dia menceritakan susah senang hidupnya.

Apa pun, saya sangat berterima kasih kepadanya yang sudi melayan saya dan kadang-kadang memanggil saya berbual dengannya dan Tok Ngah Ndan.

Saya masih ingat, soalan saya yang dia tak jawab dan hanya tersenyum bila saya bertanya ialah, "Awat Pak Njang boh nama anjin Pak Njang (dengan nama) Tan Sri?"

Berita hari ini:
Umno mahu 'Datuk' Adun pembangkang dilucutkan (Malaysiakini 2/4/10)
PB.

0 comments:

 
Powered By Blogger
Powered By Blogger
Powered By Blogger
© Grunge Theme Copyright by ustazazhargroup.blogspot.com | Template by Blogger Templates | Blog Trick at Blog-HowToTricks