PTPTN Along Berdaftar

Seorang bekas penuntut Kolej Chermai Jaya, di Kuching, Sarawak terkejut dengan tuntutan Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) yang mendesaknya menjelaskan pinjaman bernilai lebih RM15,000 yang tidak pernah sampai ke tangannya.


Gadis itu yang hanya mahu dikenali sebagai Lai, 29 berkata, situasi yang dialaminya telah cuba untuk diselesaikan sejak beberapa tahun lalu namun sehingga kini menemui jalan buntu.

Lai yang berasal dari Sibu menjelaskan bahawa sehingga kini beliau masih menerima surat guaman daripada PTPTN.

Menurut Lai, surat itu memaklumkan bahawa beliau dihalang ke luar negara selagi gagal melunaskan pinjaman itu.

Lai turut memberitahu bahawa namanya telah disenaraihitamkan sekali gus menyebabkan rancangannya untuk ke luar negara pada bulan ini terpaksa dibatalkan.

Lai dipercayai pernah memohon pinjaman dari perbadanan itu pada tahun 2001 dan sehinggalah beliau menamatkan pengajian dalam bidang Diploma Sains Komputer di kolej itu, pinjamannya tidak pernah diluluskan.

Sehubungan itu katanya, segala kos pengajiannya dalam tempoh itu hanya dibiayai oleh kakaknya.

Sehinggalah pada Mei 2004, Lai dikejutkan apabila menerima surat daripada PTPTN yang menyatakan pinjaman yang dipohonnya telah diluluskan sebanyak RM15,000 dan telah disalurkan menerusi kolej terbabit.

Lai juga menjelaskan selepas menamatkan pengajiannya, beliau langsung tiada hutang dengan kolej terbabit.

Sehubungan itu, beliau memohon bantuan daripada Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pending, Violet Yong, yang kemudiannya menulis beberapa pucuk surat kepada PTPTN dan Kolej Chermai Jaya untuk penyelesaian.

Menurut Yong, kolej berkenaan berjanji akan mengembalikan RM15,000 itu kepada PTPTN secara ansuran sementara PTPTN turut membatalkan rekod Lai.

“Kolej Chermai Jaya mengakui menerima wang yang disalurkan oleh PTPTN, dan berjanji untuk mengembalikan… namun sehingga kini PTPTN masih mengganggu Lai, maka ini bermakna jumlah tersebut belum diselesaikan.

“Lai menerima surat bertarikh 19 Februari 2010, menyatakan dia telah disenarai hitam dan dilarang keluar dari Malaysia,” katanya pada sidang media di pejabat Parti Tindakan Demokratik (DAP)  baru-baru ini.

Yong yang juga bendahari DAP Sarawak berkata, Kolej Chermai Jaya merupakan salah satu daripada tujuh institusi pengajian tinggi yang menghentikan operasi pada tahun 2008.

“Sekarang, kolej tersebut sudah tidak lagi beroperasi, di mana wang itu menghilang  sedangkan PTPTN berjanji untuk menyelesaikan masalah tersebut, ia tetap berlarutan sehingga hari ini,” katanya.

Alamat terakhir Kolej Chermai Jaya ialah di Matang Jaya dan difahamkan pernah beroperasi di Jalan Pending dan Semariang.

Kenyataan terakhir daripada PTPTN menunjukkan Lai berhutang kira-kira RM18,000.

0 comments:

 
Powered By Blogger
Powered By Blogger
Powered By Blogger
© Grunge Theme Copyright by ustazazhargroup.blogspot.com | Template by Blogger Templates | Blog Trick at Blog-HowToTricks