PRK Hulu Selangor : Siapa perlu diselamatkan? Kata Utusan Meloya...

21 APRIL — Menteri Kerja Raya, Datuk Shaziman Abu Mansor bersalaman dengan Dr. Halili Rahmat yang menyertai Umno pada majlis kesyukuran rakyat di Bandar Sungai Buaya kelmarin.Turut memerhati Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal dan Ahli Dewan Undangan Negeri Bagan Pinang, Tan Sri Mohd Isa Abdul Samad.
Parti pembangkang khususnya Parti Keadilan Rakyat (PKR) boleh menuduh apa sahaja terhadap Datuk Dr Halili Rahmat yang mengumumkan keluar daripada parti itu dan menyertai Umno.
Ia termasuklah tuduhan bahawa Bendahari PKR Hulu Selangor tersebut kecewa kerana tidak terpilih sebagai calon mewakili parti berkenaan dalam Pilihan Raya Kecil Parlimen Hulu Selangor yang akan diadakan pada Ahad ini.
Sememangnya itulah sikap pembangkang. Seseorang yang keluar dari parti itu akan dikecam habis-habisan seolah-olah orang itu adalah manusia yang paling jahat dalam dunia. Tuduhan paling popular, orang itu sudah dibeli oleh Barisan Nasional (BN) atau Umno.
Ertinya, seikhlas manapun orang itu berbuat demikian termasuklah demi kepentingan agama, bangsa dan negara, dia pasti akan dikecam. Ia menggambarkan seolah-olah hanya orang yang ada atau bergabung dalam pembangkang sahaja, baik-baik belaka.
Walaupun Dr Halili hanyalah seorang bendahari di peringkat bahagian dalam PKR, namun ia memberikan isyarat yang jelas kepada pengundi-pengundi dalam Parlimen Hulu Selangor bahawa mereka perlu menimbang dengan serius apakah parti tersebut perlu disokong.
PKR kini ternyata berada dalam terumbang-ambing, porak-peranda dan penuh dengan masalah. Tindakan keluar parti yang semakin rancak berlaku sejak kebelakangan ini sudah menampakkan dengan jelas bahawa dasar perjuangan PKR kini semakin tidak diyakini oleh pemimpin parti itu sendiri.
‘‘Kita harus ingat setakat ini, mereka yang keluar dari parti itu bukanlah sebarangan insan. Mereka adalah individu yang banyak berjasa kepada PKR dan merupakan bekas orang kanan Anwar, malah Dr Halili adalah doktor peribadi Penasihat PKR tersebut,” kata Datuk Seri Dr Khir Toyo kepada Utusan Malaysia.
Jika mereka yang begitu rapat dengan Anwar sudah tidak lagi yakin dengan perjuangan parti itu, kenapakah perlu rakyat terutamanya pengundi di Hulu Selangor hendak menaruh harapan kepada parti berkenaan?
Menyerahkan walaupun satu undi kepada PKR bermakna mereka menyumbang kepada pembaziran kertas undi yang sepatutnya digunakan bagi memilih parti yang benar-benar berjuang untuk rakyat.
Tambahan pula di Hulu Selangor, PKR meletakkan calon yang tidak dipersetujui oleh ramai pihak termasuk sebahagian dalam parti yang menjadi rakan baik PKR iaitu Pas. Sebab itulah, tindakan Dr Halili turut dikaitkan dengan masalah calon PKR.
Ia kerana Datuk Zaid Ibrahim yang dipilih oleh Anwar bagi mempertahankan panji-panji PKR di Hulu Selangor bukan sahaja orang luar, malah didakwa dipilih atas desakan DAP. Keadaan itu bermakna jika Pas beria-ia benar hendak membantu PKR dalam pilihan raya kecil tersebut, ia bermakna mereka menyokong calon yang ‘diangkat’ oleh DAP.
Keadaan inilah yang tidak dapat diterima oleh pemimpin-pemimpin PKR yang keluar parti kerana merasakan Anwar terlalu mementingkan kuasa politik dan undi sehingga sanggup mengetepikan mereka yang telah banyak berjasa kepada parti tersebut.
Akibatnya, situasi di dalam PKR semakin bergelora. Dari Kedah hingga Selangor, ada sahaja pemimpin parti itu di semua peringkat membuat keputusan mengucapkan selamat tinggal kepada PKR.
Dalam soal ini, penulis teringat poster-poster dan sepanduk di sekitar kawasan Parlimen Hulu Selangor yang dipasang oleh PKR. Antara lain ia memaparkan laungan ‘Selamatkan Malaysia’ dengan disertai jemputan ke majlis-majlis ceramah parti itu.
Bagaimanapun penulis difahamkan ceramah berkenaan tidak mendapat sambutan sebanyak mana, malahan paling mengejutkan majlis ceramah Anwar hanya dihadiri tidak sampai 400 hingga 500 orang.
Situasi itu jelas menunjukkan bahawa sebenarnya pakatan pembangkang mahu menyelamatkan PKR yang semakin lemah, bukannya mahu menyelamatkan Malaysia. Malaysia tidak ada masalah sebab itulah orang sebijak Dr.Halili yang merupakan pakar bedah otak membuat keputusan meninggalkan parti itu.
Yang tinggal di dalam PKR hanyalah pemimpin-pemimpin yang selama ini merupakan anak emas Anwar atau lebih tepat lagi memetik kata-kata Ahli Parlimen Kulim-Bandar Baharu, ‘‘kelompok firaun kecil’.
Pemimpin-pemimpin yang mampu memikirkan dengan tenang dan waras perjuangan PKR pasti akan bertindak keluar parti. Ia disebabkan sepanjang berada di situ, mereka hanya menyaksikan satu agenda perjuangan politik yang paling buruk dalam sejarah politik negara ini.
Tidak pernah dalam sejarah politik Malaysia, ada pemimpin yang sanggup melakukan apa sahaja untuk mencapai cita-cita menjadi Perdana Menteri. Selain itu, tidak pernah berlaku tertubuhnya sebuah parti seperti PKR yang rela menggadaikan segala-galanya asalkan matlamat berkuasa menjadi kenyataan.
PKR sepatutnya tidak perlu menyalahkan orang lain termasuklah melalui tuduhan dangkal Naib Presiden, Azmin Ali bahawa ada dalang di sebalik semua itu. Dakwaan seumpama itu hanyalah alasan bagi mengabui mata rakyat supaya tidak melihat PKR sebagai sebuah parti yang tiada masa depan kerana dilumuri dengan seribu satu masalah.
Azmin dan pemimpin PKR yang lain perlu faham bahawa rakyat sekarang tidak bodoh. Mereka sudah bijak menilai permainan politik mana-mana juga pihak, mereka juga sudah mampu memikirkan kenyataan siapakah yang lebih benar dan sudah pasti mereka juga boleh tahu parti mana lebih ikhlas berjuang meraih kuasa politik demi masa depan agama, bangsa dan negara.
Oleh itu, adalah lebih baik jika pemimpin-pemimpin PKR mencari ‘ubat penawar’ bagi mengubati ‘sindrom penafian’. Jika sikap itu berterusan percayalah arus ‘tsunami’ penghijrahan pemimpin-pemimpin parti tersebut akan berterusan.
Justeru bukanlah sesuatu yang mustahil, jika PKR masih terus dengan agenda politik jumud dengan hanya bersandarkan kepada penafian, slogan, fitnah dan kutukan, parti itu memulakan langkah menuju ke kuburan politik bermula dari Hulu Selangor pada 25 April ini. Jika itu berlaku, PKR sebenarnya datang ke Kuala Kubu Bahru untuk ‘tulis nama atas batu nisan’ ! — Utusan Malaysia

0 comments:

 
Powered By Blogger
Powered By Blogger
Powered By Blogger
© Grunge Theme Copyright by ustazazhargroup.blogspot.com | Template by Blogger Templates | Blog Trick at Blog-HowToTricks