PRK Hulu Selangor : Najib sumpah Altantuya lagi ketika kempen pilihan raya


Oleh G. Manimaran HULU SELANGOR, 24 April — Selepas tiga hari mengingatkan Datuk Seri Anwar Ibrahim bahawa sudah mengetahui “kesemua” rahsia Ketua Umum Pakatan Rakyat itu, Datuk Seri Najib Razak bersumpah sekali lagi - beliau tidak sama sekali kenal wanita Mongolia, Altantuya Shaariibuu yang dibunuh empat tahun lalu.
Perdana Menteri dengan membacakan ayat-ayat suci bersumpah ketika berucap dalam kempen pilihan raya kerusi Parlimen Hulu Selangor di Taman  Bunga Raya, Bukit Beruntung kira-kira 10.30 malam tadi.
Hari ini hari terakhir kempen pilihan raya kecil ini.
Najib ucapkan sumpah beliau selepas menyentuh kes liwat kedua Anwar membabitkan bekas pembantu peribadinya Mohd. Saiful Bukhhari Azlan.
“Saya sudah bersumpah sebelum ini, di masjid, saya bersumpah sekali lagi hari ini,” kata Najib yang juga Presiden Umno.
Turut hadir pada persinggahan kempen di sini — malam terakhir kempen pilihan raya kecil Hulu Selangor ialah bekas perdana menteri Tun Dr. Mahathir Mohamad.
Najib membuat sumpah berhubung isu kematian wanita Mongolia ini ketika pilihan raya kecil kerusi Parlimen Permatang Pauh Ogos 2008.
Ketika itu beliau merupakan timbalan perdana menteri.
“Saya tak kenal dia,jangan tuduh,” kata Najib lagi.
“Satu pembohongan besar dan dahsyat,” kata beliau.
Sejak Altantuya dibunuh banyak tuduhan dilemparkan terhadap Najib, antara lain mendakwa beliau ada hubungan wanita berkenaan.
Malam ini, Najib juga berkata, beliau telah dimaklumkan segala-galanya oleh Ahli Parlimen Kulim-Bandar Baharu Zulkifli Noordin kepada beliau baru-baru ini.
Zulkifli yang kini merupakan Ahli Parlimen Bebas selepas dipecat oleh PKR mengikuti rombongan lawatan ke luar Washington, diketuai Najib, baru-baru ini.
Najib berkata, Zulkifli selaku bekas peguam salah seorang tertuduh kes Altantuya, Azizul Azilah Hadri tahu segala maklumat mengenai kes itu.
Ketika berkempen di sini tiga hari lalu. Najib berkata dua wakil Bebas yang mengikuti beliau ke Washington baru-baru ini - bekas wakil rakyat PKR - sudah mendedahkan segala perkara berkaitan dengan fitnah dan strategi pembunuhan karektor digerakkan oleh Anwar selama ini.
Ahli Parlimen Bayan Baru Datuk Seri Zahrain Hashim dan  Zulkifli telah mengadakan pertemuan dengan Najib, yang disifatkan Perdana Menteri “sebagai hampir setiap malam” ketika berada di Washington.
“Saya tahu semua, sampai seluar dalam pun. Dia dah cakap segala-segalanya (kepada saya),” kata beliau.
Kira-kira dua minggu sebelum menyertai rombongan Najib, Zahrain dan Zulkifli telah mendedahkan sedikit sebanyak gerak-geri Anwar termasuk rancangan 16 September mahu mengambil alih kerajaan pusat ketika sesi perbahasan di Parlimen.
Zulkifli pula mendedahkan isu berkaitan pembunuhan wanita Mongolia.
Ekoran pendedahan itu Najib berkata beliau bersedia untuk bertemu dengan Zulkifli yang mendedahkan telah ditawarkan ganjaran lumayan untuk mengaitkan beliau dan isterinya Datin Seri Rosmah Mansor dengan kes pembunuhan Altantuya.
Zulkifli juga mendedahkan bahawa beliau telah mengaitkan anak Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Mohamed Nazri Aziz dengan kes pembunuhan sekitar tahun 2004.

0 comments:

 
Powered By Blogger
Powered By Blogger
Powered By Blogger
© Grunge Theme Copyright by ustazazhargroup.blogspot.com | Template by Blogger Templates | Blog Trick at Blog-HowToTricks