Wajar letak jawatan kerana jadi boneka Anwar

IPOH 9 Mac – Datin Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail wajar meletak jawatan Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) kerana kedudukan beliau hanya sebagai boneka kepada suaminya, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Bekas wakil rakyat PKR, Jamaluddin Mohd. Radzi berkata, beliau tidak nampak peranan sebenar yang dimainkan Wan Azizah sebagai Presiden sepanjang berada di bawah kepimpinannya sebelum ini.
“Kegagalan Presiden PKR ini memang sudah lama, sejak kes Perak lagi. Presiden tidak berperanan langsung.
“Beliau hanya duduk di kerusi itu sebagai syarat. Yang menjalankan tugas sebenar Datuk Seri Anwar Ibrahim,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.
Semalam, Ahli Parlimen Kulim-Bandar Baharu, Zulkifli Nordin menasihatkan Wan Azizah supaya melepaskan jawatan Presiden parti itu kerana gagal memainkan peranannya.
Menurut Zulkifli, Presiden PKR itu gagal mempertahankan dasar parti yang berikrar mempertahankan Islam dan kedudukan istimewa umat serta institusi Islam seperti diperuntukkan dalam Perlembagaan negara.
Jamaluddin yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Behrang berkata, jika Wan Azizah terus memegang tampuk kepimpinan parti, dibimbangi lebih banyak hak dan kepentingan Melayu akan terpinggir.
“Dulu saya sendiri pernah buat aduan tentang kepincangan yang berlaku di dalam pakatan pembangkang. Memang beliau ada datang ke Perak dan menasihatkan Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin.
“Tetapi tiada tindakan diambil. Maksudnya sama ada Mohammad Nizar tak dengar cakap atau Wan Azizah sendiri tak berperanan. Saya setuju kalau beliau bersedia meletakkan jawatan,” ujarnya.

0 comments:

 
Powered By Blogger
Powered By Blogger
Powered By Blogger
© Grunge Theme Copyright by ustazazhargroup.blogspot.com | Template by Blogger Templates | Blog Trick at Blog-HowToTricks