Rakyat Kelantan terus berjuang tuntut royalti

KOTA BHARU, 14 Mac: Perjuangan menuntut royalti minyak tetap diteruskan rakyat Kelantan biar pun sehingga kini Datuk Seri Najib Razak masih membisu bagi menjelas pendirian sebenar kerajaan pusat.
Malah rakyat Kelantan juga tidak putus semangat biar pun bekas Ketua Menteri Sarawak, Tun Abdul Rahman Yakub menganggap Kelantan tidak berhak menuntut royalti minyak tanpa dapat membuktikan perairannya melebihi tiga batu nautika.
Pengerusi Bersama Gerakan Bertindak Kembalikan Royalti Rakyat (Gegar), Dr Abdul Halim Yusof berkata, beliau hairan kenyataan yang dibuat bekas Ketua Menteri Sarawak itu bertentangan dengan afidavit yang diikrarkan pada September 2005.
Katanya, berdasar kepada kenyataan tersebut jelas berlaku perbezaan jauh jika dibandingkan dengan afidavit Tun Abdul Rahman sebelum ini.
“Sedangkan dalam afidavit tersebut beliau menjelaskan Akta Kemajuan Petroleum 1974 merupakan satu perkongsian sumber dan keuntungan antara kerajaan Persekutuan dan negeri di Malaysia berhubung petroleum yang dikeluarkan di darat atau luar pesisir negeri-negeri berkenaan,” katanya di sini.
Malah pada perkara 37 dalam afidavit tersebut dijelaskan minyak yang ditemui di luar pesisir Sarawak sebelum 1974 terletak jauh dari daratan. Kawasan penemuan minyak terletak jauh daripada 12 batu nautika dari pesisir pantai.
”Sepanjang rundingan saya dengan Tun Abdul Razak tidak pernah timbul sebarang kefahaman bahawa sekiranya minyak yang ditemui terletak lebih dari 100 batu, ia bukan milik Sarawak.
”Yang pasti, minyak yang ditemui di luar pesisiran Sarawak adalah hak Sarawak, Tun Abdul Razak tidak pernah mempertikaikan,” kata Abdul Rahman.
Dr Abdul Halim bimbang bekas Ketua Menteri Sarawak dipengaruhi seseorang sehingga terlupa segala afidavit yang menyokong tuntutan royalti minyak kerajaan Terengganu pada 2001.
Oleh itu, beliau yakin perjuangan Gegar dan rakyat Kelantan menuntut royalti minyak berada di pihak yang benar.
Dan mulai esok isu tersebut dijangka digegarkan sekali lagi di Dewan Rakyat.
Pada 18 Mac ini bekas Pengasas Petronas, Tengku Razaleigh Hamzah sekali lagi akan menjelaskan isu tuntutan royalti bertempat di Terengganu Ekuestrian Resort, Kuala Terengganu.

0 comments:

 
Powered By Blogger
Powered By Blogger
Powered By Blogger
© Grunge Theme Copyright by ustazazhargroup.blogspot.com | Template by Blogger Templates | Blog Trick at Blog-HowToTricks