Hubungan Malaysia-Amerika Syarikat semakin mesra

WASHINGTON, 28 Feb — Perhubungan Malaysia-Amerika Syarikat yang agak dingin kini semakin mesra dengan perubahan dasar luar Malaysia terhadap negara itu di bawah pimpinan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak, kata Datuk Seri Mohamed Nazri Tan Sri Abdul Aziz.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri berkata usaha kerajaan Malaysia untuk berbaik-baik dengan Amerika Syarikat telahpun diketahui oleh kerajaan Amerika dan dapat dirasai oleh pegawai kerajaan, ahli kongres dan senator negara itu yang ditemuinya di sini.

Nazri yang memimpin Anggota Parlimen dari Malaysia untuk lawatan kerja lima hari ke sini sejak Selasa, berkata pertemuan dengan pegawai-pegawai kanan Amerika Syarikat dan ahli-ahli kongres dan senator berkisar kepada isu-isu kawalan eksport, rundingan perjanjian perdagangan bebas Malaysia-Amerika (FTA), dan melawan keganasan.

Malah pertemuannya dengan Timbalan Wakil Perdagangan Amerika Demterios Marantis, Senator Kitt Bond dan ahli Kongres Eni Faleomavaega ( Samoa Amerika) yang juga Chairman of the House Foreign Affairs Subcommitte on Asia, the Pacific and the Global Environment,” jelas menunjukkan kesemua mereka menghargai kehadiran kami di sini,” katanya kepada Bernama di sini Sabtu.

Beliau berkata usaha sudah bermula untuk memulihkan semula hubungan Amerika-Malaysia dengan kerjasama ahli kongres Eni dan Duta Besar Malaysia ke Amerika Syarikat Datuk Seri Dr Jamaludin Jarjis.

“Insyallah apabila Perdana Menteri (Datuk Seri Najib Razak) datang pada bulan April nanti maka kita boleh lancar semula kaukus Malaysia-Amerika ini.

“Kaukus ini telah wujud lama, 10 tahun lebih. Oleh kerana tidak bergerak jelas menunjukkan hubungan yang tidak rapat di masa lepas,” katanya.

Beliau berkata dengan adanya kaukus itu, yang merupakan satu platform untuk kedua-dua merapatkan hubungan, “kita boleh ada perancangan dan program-program tertentu melibatkan ahli kongres dan ahli Parlimen kedua buah negara.”

Delegasi parlimen itu terdiri daripada Timbalan Speaker Dewan Rakyat, Ronald Kiandee, Datuk Haji Tajuddin Abdul Rahman (Pasir Salak), Wee Choo Keong (Wangsa Maju) dan Ketua Pentadbir Parlimen Datuk Kamaruddin Mohamed Baria.

Nazri berkata beliau turut menjemput Peguam Negara Tan Sri Abdul Gani Patail dan bekas ketua hakim negara Tun Abdul Hamid Mohamed yang kini pengerusi anggota lembaga penasihat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia untuk ke Washington bagi mengambil bahagian dalam seminar anjuran “Center for Strategic and International Studies (CSIS) bertajuk “Governance and Rule of Law and Malaysian Legislative Initiatives”.

Ini adalah kerana mereka kebetulan berada di Uruguay untuk menyiasat kes kehilangan dua jet enjin Tentera Udara Diraja Malaysia yang turut melibatkan kes rasuah, katanya.

Menyentuh mengenai dakwaan penulis blog Malaysia yang mendakwa kerajaan membayar US$20 juta (RM67.3 juta) kepada pelobi di Washington untuk membersihkan imej Malaysia yang kononnya tercemar akibat kes perbicaraan Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR) Datuk Seri Anwar Ibrahim, Nazri menafikan dakwaan tersebut dan berkata lawatan itu menggunakan peruntukan yang diberikan kerajaan kepada pejabatnya serta Anggota Parlimen.

“Saya tidak tahu dari mana datang jumlah US$20 juta ni!. Ini tuduhan liar dan tuduhan yang dibuat oleh pembangkang. Malah tak ada keperluan untuk membersihkan imej Malaysia,” katanya.

Beliau berkata isu Anwar langsung tidak dibangkitkan dalam perbincangannya dengan para pegawai, ahli kongres and senator Amerika Syarikat.

“Isu Anwar cuma dibangkitkan dalam seminar itu sebagai satu soalan yang dibangktikan oleh seorang NGO (badan bukan kerajaan), dan saya juga tak berminat nak bercakap tentang kesnya sebab kesnya terlalu kecil untuk menjejaskan hubungan dengan Amerika. Takkanlah sebab satu individu itu akan menjejaskan hubungan kita,” tegasnya.

“Kita tahu di Malaysia dia (Anwar) cuba hendak gugurkan tuduhan terhadapnya di mahkamah dan minta Parlimen bersidang mencampuri urusan kehakiman – yang merupakan prinsip yang penting ialah kebebasan kehakiman,legislatif dan eksekutif,” katanya.

“Bila dia (Anwar) nak didakwa di mahkamah, dia suruh kita pulak legislative campur tangan dan menuntut Lim Kit Siang supaya diadakan sidang Parlimen khas. Kita tak akan campur tangan urusan mahkamah,” kata Nazri

0 comments:

 
Powered By Blogger
Powered By Blogger
Powered By Blogger
© Grunge Theme Copyright by ustazazhargroup.blogspot.com | Template by Blogger Templates | Blog Trick at Blog-HowToTricks