UMNO SEDANG MELALOK

Semasa ditubuhkan pada tahun 1946 untuk membantah Malayan Union, majoriti orang Melayu menyokong UMNO kerana hak mereka terhakis. UMNO mendapat kredit khas kerana berjaya mengelakkan bencana menimpa orang Melayu. UMNO terus disokong selepas itu sehinggalah kecurangan mereka terbongkar dengan berlakunya peristiwa berdarah 13 Mei 1969. Pada masa itulah rasa tidak puas hati terhadap ketidakadilan sosial meletus menjadi pergaduhan antara kaum.

Baharulah Perikatan sedar tentang kegagalan mereka menangani isu jurang ekonomi yang luas antara Bumiputera dengan bukan Bumiputera. Maka dilancarkanlah Dasar Ekonomi Baru (DEB)untuk membasmi kemiskinan dan menyusun semula masyarakat. Dua puluh tahun masa yang diberikan untuk mencapai matlamat itu (1970 - 1990). Dengan segala bagai kemudahan dan peruntukan wang yang melimpah-ruah, orang Melayu hanya dapat 19% ekuiti, tersasar jauh dari matlamatnya, 30%. Dasar Pembangunan Nasional menyusulinya sehingga tahun 2000. Tiada juga terhasil matlamat itu. Kini matlamat 30% itu mahu dicapai melalui Dasar Wawasan Negara pada tahun ini (2010). Jawapan negatifnya telah tersedia.Kegagalan demi kegagalan menyebabkan untung nasib orang Melayu terkontang-kanting. Salahnya ialah nafsu serakah pemimpin Melayu sendiri. Kaum lain tidak menumpang sedikit pun kesalahan itu. Yang khianat pemimpin Melayu. Yang dapat projek pemimpin Melayu dan kroni mereka. Mereka buat duit atas angin melalui perniagaan Ali Baba. Dapat projek beri kepada orang Cina. Salah Melayu bukan salah Cina. Ketirisan, salah guna kuasa, dan rasuah bermaharajalela. Memang wujud Melayu yang kaya raya, tetapi mereka itu berapa kerat sahaja. Majoritinya kroni.

Agenda untuk membangunkan Melayu hampir tiada dalam Dasar Pembangunan Nasional (1991 - 2000) kerana yang disibukkan ialah hendak menjadi negara maju menjelang tahun 2020. Siapakah yang akan percaya Melayu boleh dapat 30% ekuiti pada tahun 2010 melalui Dasar Wawasan Negara? Dengan amalan rasuah dan salah guna kuasa yang berleluasa dalam UMNO serta keadaan ekonomi yang sentiasa menguncup, jauh panggang dari api untuk melihat kejayaannya. Sebab itu Najib beriya-iya hendak melancarkan dasar ekonomi untuk kesekian kalinya. Masalahnya sampai dasar ekonomi ke berapa baharu orang Melayu nak maju, duduk sama rendah dan berdiri sama tinggi dengan kaum lain?

Usahlah berangan-angan jika nafsu serakah pemimpin masih tidak berubah. Songlap sahaja asal ada kesempatan. Bazirkan sahaja wang bila terlalu banyak. Joli katak semahu-mahunya. Bila duit tidak semewah dulu ketika ini, yang teraniaya para pekerja. Mereka tidak akan dibayar kalau buat kerja lebih masa. Pelabur asing banyak yang cabut lari. Pendatang asing banyak yang datang mencuri. Anehnya, wang makan budak-budak asrama pun dinaikkan. Tidak cukup dengan itu, suruh pula budak-budak asrama balik tidur di rumah tiap-tiap hari Sabtu dan Ahad serta cuti umum, kononnya nak jimatkan kos.

Walaupun begitu, UMNO/BN tidak rasa malu. Masih juga tegakkan benang basah dengan mendakwa negara telah berjaya keluar daripada kemelesetan ekonomi. Pertumbuhan ekonomi negara bagus. Yang tidak bagus ialah pembangkang. Hanya BN yang mampu memerintah negara ini. Lim Guan Eng tidak bagus kerana melaksanakan tender terbuka dan tidak beri projek kepada kroni UMNO. Khalid tak bagus kerana beri air percuma kepada rakyat dan tidak mahu menaikkan tarif air. Azizan tak bagus kerana bekalan air selalu kekeringan, kotor, dan berbau di Kedah. Nik Aziz tidak bagus kerana minta royalti petroleum.

Mereka tidak pernah sebut kebagusan sistem pemerintahan ala Khalifah Umar Abdul Aziz. Mereka buat pekak sahaja dengan dasar perjuangan berdasarkan al-Quran dan Hadis. Mereka sibuk dengan perarakan Maulidur Rasul yang tidak wajib,tetapi menghentam hukum sebat ke atas wanita yang melakukan persetubuhan haram. Mereka bantah keputusan mahkamah membenarkan gereja Katolik guna kalimah "Allah". Islam apa yang UMNO pakai? Mereka arak kepala lembu untuk menyakitkan hati orang India. Pegawai khas Najib menghina orang Cina dan India. Rasis mereka sudah keterlaluan. Apa erti semua ini?

Kerja tetap yang mereka lakukan sehari-hari ialah melaga-lagakan semua parti dalam Pakatan Rakyat. Mengapa mereka berbuat demikian? Mereka mahu menghalang Pakatan Rakyat berbakti dengan ikhlas kepada rakyat. Mereka mahu menghalang Pakatan Rakyat kembalikan kekayaan negeri kepada rakyat. Mereka mahu menghalang usaha Pakatan Rakyat menyatupadukan semua kaum di negara ini. Mereka iri hati melihat orang Melayu sokong DAP yang didakwa taksub dengan Malaysian Malaysia. Mereka iri hati melihat orang Cina dan India berduyun-duyun menyertai Dewan Penyokong PAS. Mereka iri hati PKR wujud sebagai parti pelbagai kaum.

UMNO perlu ingat bahawa dalam era globalisasi sekarang ini UMNO bukan Melayu dan Melayu bukan UMNO. UMNO hanyalah parti rasis yang majoriti ahlinya Melayu. Melayu dalam UMNO telah lama mengkhianati Melayu. Melayu dalam UMNO lebih mementingkan diri sendiri daripada bangsanya. Orang Melayu yang masuk UMNO semuanya mempunyai agenda untuk membina kemewahan diri. Orang Melayu dalam UMNO tidak tahu membezakan tanggungjawab dengan bantuan. Oleh sebab itu, mereka selalu mengungkit. Kami sudah bina masjid. Kami sudah bina jalan raya. Kami sudah sekolah. Kami sudah baiki bumbung rumah pangsa yang diterbangkan angin. Sokonglah kami yang sentiasa membantu rakyat. Rakyat pun kata, "Itu tanggungjawab kerajaanlah ngok!!!"

Mengapa mereka tidak kata, "Kamilah yang buat stadium, tidak lama selepas itu runtuh." Mengapa mereka tidak kata, "Kami bina makmal komputer di sekolah, belum pun siap bumbungnya runtuh." Mengapa mereka tidak kata, "Kamilah yang yang songlap duit PKFZ." Mengapa mereka tidak kata, "Pemimpin UMNO mengamalkan rasuah politik, janganlah sokong kami lagi kerana kami tidak terdaya menghapuskannya."

Lihatlah sikap lempar batu sembunyi tangan mereka. Lihatlah sikap mereka memaku dulang paku serpih, mengata orang aku yang lebih. Lihatlah lakonan mereka seperti musang berbulu ayam. Lihatlah mereka kokok berderai-derai, ekor bergelumang taik.
Rakyat Malaysia sudah jijik memandang mereka. Rakyat Malaysia akan menolak mereka walaupun Najib melalok konsep 1 Malaysia berjaya.

Drs Harun Jaafar

0 comments:

 
Powered By Blogger
Powered By Blogger
Powered By Blogger
© Grunge Theme Copyright by ustazazhargroup.blogspot.com | Template by Blogger Templates | Blog Trick at Blog-HowToTricks