Mustapa terus ulangi Kelantan tiada hak terima royalti

Oleh Mohd Zuharman

KOTA BARU, Feb 20 — Dalam ceramah balas yang diadakan di sini malam tadi, Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Datuk Seri Mustapa Mohamed mengulangi pendirian kerajaan persekutuan bahawa Kelantan hanya berhak menerima wang ihsan, bukannya royalti.

“Royalti yang disebut pada ceramah di Stadium Sultan Mohamad IV bulan lalu tak betul kerana hakikat sebenar tidak ada royalti, yang ada ialah bayaran tunai.

"Itu pun sekiranya disahkan betul-betul ada minyak atau gas,” kata Pengerusi Umno Kelantan ini di sini malam tadi.

Pada 28 Jan lalu, bekas pengerusi dan pengasas Petronas Tengku Razaleigh Hamzah dalam ceramah yang dianjurkan pertubuhan bukan kerajaaan Gegar berkata, negeri itu berhak menerima royalti petroleum lima peratus.

Kata beliau rakyat Kelantan berhak kepada bayaran royalti berdasarkan perjanjian yang termaktub di bawah akta pembangunan petroleum yang digubal 1974.

Justeru kata Tengku Razaleigh, perjanjian dengan kerajaan pusat adalah sah dan tidak pernah terbatal di sisi undang-undang.

“Jika benar adanya minyak di perairan pantai Kelantan, dan wujud hasil pengeluarannya maka Kelantan berhak kepada tuntutan royalti sebanyak lima peratus,” kata beliau.

Dalam ceramahnya malam tadi, Mustapa mempertahankan fakta tiga batu nautika berdasarkan Undang-undang kemajuan Petroleum.

“Undang-undang negara mengatakan bahawa tiga batu nautika. Kalau minyak betul-betul dijumpai di dalam kawasan itu, maka ia wajib diberikan lima peratus dan disalurkan ke akaun kerajaan negeri.

“Tetapi jika sebaliknya adalah wang ihsan.

“Mengikut takrif wang ihsan ini kalau hendak beri (wang ihsan) tiada masalah dan tak nak bagi pun tak mengapa kerana itu atas budi bicara kerajaan persekutuan,” kata beliau.

Ceramah yang diadakan di pekarangan pejabat Umno Kelantan itu dihadiri 2,000 penyokong Umno-Barisan Nasional dengan mengibar sepanduk tertera kata-kata “Insya-Allah... wang ihsan” dan “Tok soh caro hok Ku Li royak” (jangan peduli kenyataan Ku Li).

Mengulas lanjut pertikaian isu tuntutan tersebut, beliau berkata, tidak termaktub dalam Akta Pembangunan Petroleum istilah royalti kecuali terma bayaran tunai.

Oleh kata beliau kebanyakan rakyat tidak diberi kefahaman secara terbuka takrif istilah berkenaan menyebabkan timbulnya pelbagai andaian di kalangan rakyat terhadap isu tersebut.

Namun atas rasa keinsafan dan tanggungjawab Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak tetap mahu memberi wang ihsan kepada rakyat Kelantan sebanyak lima peratus, hasil daripada pengeluaran gas yang dijumpai di kawasan PM301.

Sebanyk RM20 juta bagi tahun 2008 akan disalurkan melalui Jabatan Pembangunan Persekutuan (JPP) bulan depan.

Dalam pada itu Mustapa kecewa dengan sikap kerajaan negeri yang menuduhnya sebagai pengkhianat dan derhaka kerana tidak prihatin terhadap rakyat negeri sendiri.

“Dukacita juga rasa kalau banyak sangat tuduhan-tuduhan tidak berasas seperti itu dilemparkan pada kita. Mereka tidak tahu siang malam kita bekerja untuk rakyat dan negeri ini.

“Mereka (kerajaan PAS) lupa siapa yang meluluskan beberapa projek pembangunan yang ada di negeri ini, contohnya bangunan kedai medan selera di stadium, naik taraf lapangan terbang, Universiti Malaysia Kelantan dan banyak lagi.

“Saya yang bawa masuk projek-projek itu semua dulu. Tapi saya juga yang dituduh derhaka,” katanya.

Sementara itu, Presiden Perkasa Datuk Ibrahim Ali yang turut berucap berkata isu tuntutan royalti minyak Kelantan sekarang sudah menjadi satu pertikaian masalah perundangan.

Justeru, pertikaian antara kerajaan negeri dan persekutuan berhubung itu tersebut hanya mahkamah sahaja yang boleh putuskan.

“Kita perlu faham bahawa kita tertakluk dengan undang-undang perairan antarabangsa. Takrif undang-undang antarabangsa, kerajaan (Kelantan ) layak menerima bayaran lima peratus sekiranya minyak atau gas dijumpai dalam jarak tiga batu nautika.

“Ini dikatakan berlaku pertikaian dalam masalah perundangan kerana dalam perjanjian tidak disebut bayaran lima peratus perlu dibayar bila minyak dijumpai pada jarak 200 atau 300 batu nautika,” katanya.

Justeru Ibrahim, yang juga Ahli Parlimen Pasir Mas mencabar kerajaan Kelantan supaya mengambil langkah rasional bagi membawa isu tersebut ke mahkamah agar pertikaian itu tidak lagi dijadikan bahan modal politik.

“Rakyat pun tidak pening kepala dengan isu minyak kerajaan negeri ini,” katanya.

Namun sebaliknya Ibrahim percaya kerajaan negeri tidak semudah itu akan bertindak sedemikian kerana itulah di antara senjata ampuh kerajaan PAS Kelantan menjelang pilihan raya umum ke-13.

“Sudah semestinya mereka akan guna isu minyak ini untuk kaitkan sentimen rakyat beritahu tentang kezaliman kerajaan pusat,” katanya.
Sambil menyifatkan kerajaan negeri seolah-olah terlalu takut pemberian wang ihsan disalurkan melalui JPP, Ibrahim berkata, “kebijaksanaan kerajaan pusat menguruskan pengagihan wang itu kepada rakyat akan menjejaskan kedudukan kerajaan negeri."

0 comments:

 
Powered By Blogger
Powered By Blogger
Powered By Blogger
© Grunge Theme Copyright by ustazazhargroup.blogspot.com | Template by Blogger Templates | Blog Trick at Blog-HowToTricks