BN Timbang Status Keahlian Sekutu Untuk Parti Politik Mesra BN ..fuyoo mesra BN maa...ada ahli bersekutu la...!!!

KUALA LUMPUR: Barisan Nasional (BN) dikatakan sedang memikirkan untuk meminda piagamnya bagi membolehkan parti politik yang mesra BN bergabung menjadi ahli bersekutunya.

Menurut sumber sebagai 'jalan tengah' parti mesra BN tidak akan diberi keahlian biasa tetapi keahlian bersekutu dan langkah ini dijangka akan disokong oleh semua pucuk pimpinan parti komponen BN.

"Jika kami membenarkan parti mesra BN sebagai ahli penuh (keahlian biasa), ini akan menimbulkan kemarahan parti komponen BN kerana sebahagian daripada parti tersebut adalah parti serpihan komponen BN.

"Tambahan pula, sekiranya mereka dilantik sebagai ahli penuh, BN terpaksa memperuntukkan kerusi untuk pilihan raya akan datang. Pada masa ini kami tidak melihat mana-mana parti komponen BN yang mahu menyerahkan kerusi untuk parti tersebut," kata sumber itu kepada Bernama hari ini.

BN telah menubuhkan satu jawatankuasa khusus diketuai naib presiden Umno Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein dan mengandungi wakil-wakil daripada setiap parti komponen BN untuk mengkaji perkara itu dan kaedah yang boleh digunapakai jika gabungan itu meneruskan pindaan.

Sebarang keputusan yang dibuat jawatankuasa ini harus dipersetujui pemimpin tertinggi BN dan mesti mendapat lampu hijau daripada semua parti komponen berdasarkan sistem konsensus seperti yang diamalkan oleh parti gabungan tertua negara itu.

BN terpaksa merombak sistemnya selepas prestasi suram pada pilihan raya umum 2008 apabila gabungan itu hilang empat negeri Kedah, Pulau Pinang, Perak dan Selangor - kepada pembangkang dan gagal untuk merampas kembali Kelantan daripada pembangkang.

Perak kembali di bawah pemerintahan BN selepas tiga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) pembangkang keluar parti dan memilih untuk menjadi ADUN bebas sambil berjanji untuk memberi sokongan mereka terhadap kerajaan gabungan, hampir setahun selepas pilihan raya umum.

Pilihan raya umum 2008 membuka mata BN bahawa parti itu memerlukan sokongan 'pihak lain' seperti parti politik sampingan dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) bagi membolehkan ia tetap relevan dalam lanskap politik negara.

Parti politik yang berminat untuk menyertai BN termasuk Barisan Progresif India (IPF), parti yang baru ditubuhkan Parti Makkal Sakti Malaysia, Kongres India Muslim Malaysia (Kimma). Beberapa NGO juga dijangka menyertai gabungan ini.

"Ia (keahlian BN) bukan dalam bentuk keahlian langsung. Apa yang kita pertimbangkan adalah selaku keahlian bersekutu. Tetapi mereka perlu memberi jaminan bahawa mereka menyokong kami. Dan mereka juga tidak dibenarkan bertanding dalam pilihan raya.

"Selain itu, ahli bersekutu ini tidak akan dibenarkan untuk menduduki Majlis Tertinggi BN. Terdapat beberapa pengiktirafan untuk ahli bersekutu ini tetapi bukan kerusi untuk bertanding atau kerusi untuk menduduki badan membuat keputusan tertinggi BN," kata setiausaha agung Pertubuhan Pasokmomogun Kadazandusun Murut Bersatu (Upko) Datuk Wilfred Madius Tangau.

Presiden MIC Datuk Seri S. Samy Vellu pada Selasa mengisytiharkan MIC parti India terbesar dalam negara, tidak menentang cadangan BN untuk membuka keahlian kepada individu, parti-parti politik dan NGO.

Beliau berkata parti itu akan membantu dan menyokong Perdana Menteri dan Pengerusi BN Datuk Seri Najib Tun Razak dalam usahanya memperkukuhkan gabungan itu.

"Cadangan untuk keahlian secara terus akan dibincangkan oleh semua komponen parti dalam semangat persaudaraan dan saling faham memahami," katanya dan menambah parti itu akan berbincang mengenai cadangan itu 'secara tertutup dan akan mengambil bahagian aktif dalam perbincangan apabila tiba masanya.'

"Pendirian rasmi MIC berhubung cadangan keahlian itu ialah kami tidak akan menolaknya pada bila-bila masa. Saya mahu perkara ini difahami dengan jelas oleh semua pihak," katanya.

Sementara itu, penganalisis politik Datuk Dr Denison Jayasooria ketika dihubungi berkata BN harus mengemukakan garis panduan jelas mengenai perkara itu bagi memudahkan pihak yang berminat untuk menyertai gabungan tersebut.

"Saya difahamkan mereka sedang mendraf perubahan itu untuk piagam atau perlembagaan BN. Ia mesti jelas dan tidak harus ada kelemahan. Kita telah lihat banyak ahli melompat parti dan ia telah mendatangkan masalah.

"Jadi, ia sesuai sekiranya jawatankuasa BN yang dibentuk untuk perkara itu dapat memperincikan definisi jelas, siapa yang boleh dan tidak boleh menyertai parti. Antara persoalan panas sesiapa yang meninggalkan gabungan dan menyertai pembangkang tetapi mahu kembali semula. Bagaimanakah mereka menangani kes sedemikian?

"Adakah mereka akan memutuskan berdasarkan kes demi kes? Jika memang demikian maka akan ada beberapa orang yang akan kecewa jika mereka tidak dibenarkan menyertai gabungan. Semua ini mesti diselesaikan," katanya.

Penganalisis politik Dr Sivamurugan Pandian, bagaimanapun percaya keanggotaan terus adalah lebih sesuai berbanding keahlian bersekutu kerana BN memerlukan semua bantuan bagi mengumpulkan semula sokongan yang hilang sejak lima tahun lepas.

Katanya tugas sekarang adalah untuk memikat pengundi yang telah terbahagi kepada tiga kategori. Terdapat pengundi tradisional (penyokong kuat BN), pengundi mesra BN (mereka yang menyokong BN tetapi tidak mahu menyertai mana-mana parti komponen BN) dan penyokong atas pagar (mereka yang akan melihat isu yang dibawa BN juga parti pembangkang).

"Satu-satunya perkara adalah mereka perlu mengkaji isu adakah mereka bersedia untuk melepaskan kerusi dan isu sama ada NGO, jika diberi landasan politik, akan tetap dapat menjalankan tugas berkesan sebagai NGO.

"Sekiranya mereka diberi keahlian bersekutu atau status kelab, mereka akan tetap rasa didiskriminasi kerana mereka tidak akan menikmati hak penuh (biasa) keahlian," katanya.

Sivamurugan juga menyatakan ini adalah apa yang dirasai oleh ahli-ahli kelab penyokong PAS selepas mereka merungut kenapa mereka tidak diberi sebarang kerusi untuk bertanding.

"Ada juga isu di mana mereka yang berada di belakang NGO mahu organisasi itu kekal sebagai NGO untuk menjadi penyemak dan pengimbang kepada parti politik," katanya.

"Isu lain bahawa beberapa parti politik mungkin tidak membenarkan kelab-kelab penyokong seperti yang ditubuhkan oleh S.A. Vigneswaran (bekas ketua pemuda MIC yang berhenti dari parti) dan T.Murugiah (timbalan menteri dan bekas ketua pemuda Parti Progresif Penduduk yang dipecat dari parti) menyertai BN.

"Oleh itu BN perlu mengkaji sedalam-dalamnya mengenai cadangan ini dan mengemukakan penyelesaian sebelum memutuskan kaedah yang akan digunakan," katanya.
Sivamurugan percaya isu itu boleh diatasi jika semua pihak kembali kepada semangat pembentukan Parti Perikatan pada tahun 50an iaitu saling berkompromi dan melakukan pengorbanan untuk memastikan pembentukan itu menjadi realiti.

0 comments:

 
Powered By Blogger
Powered By Blogger
Powered By Blogger
© Grunge Theme Copyright by ustazazhargroup.blogspot.com | Template by Blogger Templates | Blog Trick at Blog-HowToTricks