Anwar Dalam Bicara 7

Perbicaraan ditangguhkan.

Amat menarik untuk diperhatikan bila kemahuan para peguam Anwar meneruskan bicara dan menangguhkan permohonan mereka bagi menyingkirkan hakim. Sudah menjadi rahsia umum di Malaysia bagaimana rakyat semakin hilang kepercayaan kepada sistem kehakiman apabila melibatkan isu politik.

Dalam satu hadis Nabi s.a.w. ada disebut berkenaan tiga orang hakim di mana dua daripadanya akan menghuni neraka, hanya satu akan ke syurga. Dijelaskan bahawa satu yang ke syurga ini tahu kebenaran dan membuat keputusan sesuai dengannya. Sementara selebihnya ke neraka kerana i) mereka jahil, tetapi tetap mahu menjadi hakim dan ii) mereka tahu kebenaran tetapi membelakanginya.

Kes kehakiman di Malaysia mula menjadi perbualan ramai apabila Tun Saleh Abas ‘hilang jawatan’nya daripada permainan politik Dr. Mahathir. Beliau sempat menulis Singa di Bawah Takhta Dijerat untuk menceritakan seluruh peristiwa yang terjadi sebelum beliau kehilangan jawatan sebagai Ketua Hakim Negara.

Rais Yatim pernah menyiapkan Ijazah Doktor Falsafah yang memperihalkan isu kebebasan kehakiman di Malaysia pasca isu Tun Saleh Abas. Ternyata, jambatan yang beliau bakar atas nama prinsip dulunya kini dikompromi dan terlihat ciri nyanyuk lekas menerpa beliau.

Syed Ahmad Idid antara seorang lagi hakim yang mendedahkan bagaimana institusi itu diserang ‘barah’ rasuah.

Hanya pada zaman Tun Abdullah Ahmad Badawi menjadi Perdana Menteri, dengan Dato’ Zaid Ibrahim sebagai Menteri di Jabatan Perdana Menteri yang menguruskan hal ehwal berkaitan undang-undang, kita dapat melihat sedikit usaha ditonjolkan bagi memulihkan semula institusi yang membina cabang pemisahan kuasa di Malaysia ini.

Tetapi panas tidak mesti sampai ke petang, ada masanya hujan datang di tengah hari. Usaha memulihkan institusi kehakiman dilihat oleh sesetengah pihak sebagai satu usaha menghilangkan pengaruh ‘sang maharaja tanpa tengkolok’ yang telah memerintah lebih dua dekad. Kenapa begitu? Paling tidak ada beberapa petunjuk boleh dinyatakan iaitu:

1. dialah Perdana Menteri yang menyerang institusi kehakiman akibat keputusan-keputusan tidak memihak kerajaan, khususnya mengharamkan UMNO.
2. dialah yang cuba masuk campur urusan berhubung pemecatan Tun Saleh Abas.
3. dialah Perdana Menteri yang memanipulasi sistem kehakiman untuk kepentingan politiknya dalam isu Anwar Ibrahim.
4. bukan sekadar isu Anwar Ibrahim, rentetan daripada isu ini juga ternampak jelas misalnya dalam bicara singkat Munawar Anees dan Sukma Darmawan.
5. selain itu, mendiang hakim Augustine Paul yang tiba-tiba melonjak jawatannya dan popular dengan kata-kata “tidak relevan”.
6. dialah antara yang didapati Suruhanjaya Siasatan video VK Lingam (yang popular dengan kata-kata “correct, correct, correct”) perlu didakwa bersama beberapa yang lain kerana kandungan video tersebut jelas memaparkan manipulasi sistem kehakiman.

Di sebalik semua ini, Dr. Mahathir masih boleh terus bebas dan mengatur agenda beliau. Beliau tidak merasa bersalah dan memang tidak kelihatan mahu mengaku bersalah.

Sebab itu Reformasi 1998 tidak wajar hanya dilihat dalam konteks pertarungan peribadi antara dua tokoh. Ia telah mengheret lebih daripada itu. Kerana Dr. Mahathir tahu bahawa beliau tidak cukup asas untuk membuang Anwar Ibrahim daripada kerajaan, alang-alang beliau memperjudikan nasib dengan membuat pertuduhan mengaibkan dan mengerah seluruh jentera kerajaan menjustifikasikan tindakan tersebut.

Dan kes terbaru antara Anwar dengan Saiful tidak lebih daripada usaha sia-sia sebilangan yang terdesak menahan kemaraan Gerakan Reformasi.

Kenapa mereka memilih pertuduhan yang sama?

Kerana mereka tahu bahawa kemenangan Barisan Nasional pada tahun 1999 didokong oleh undi bukan Melayu. Dalam satu kenyataan di Dewan Rakyat, Dato’ Azmi Khalid pada waktu itu menyatakan bahawa 65% Melayu mengundi Barisan Alternatif. Ya, orang Melayu menolak pertuduhan jahat tersebut!

Pada tahun 2008, kita menyaksikan undi bukan Melayu ini beralih begitu besar kepada apa yang kita kenal sebagai Pakatan Rakyat. BN, khususnya UMNO sedar bahawa mereka kini benar-benar bergantung kepada undi Melayu.

Tapi undi orang Melayu bukan tidak pernah berpaling sebagaimana kes 1999. Maka ini menjadikan UMNO terdesak. Untuk meneruskan wacana politik ke hadapan, mereka tersekat dengan persoalan lama yang tidak selesai iaitu tindakan bodoh mereka menurut perencanaan Dr. Mahathir sepanjang 1998-2004. Ini kerana Anwar Ibrahim berada di barisan depan Pakatan Rakyat. Penerimaan rakyat kepada Anwar beerti penolakan tuduhan 1998-2004. Jadi, satu tindakan untuk menjustifikasikan tempoh gila itu perlu dibuat. Caranya? Sekali lagi membuat tuduhan mengaibkan itu.
Mereka sangka bahawa rakyat telah memaafkan sepenuhnya tindakan mengheret negara bagi menjustifikasikan tembolok seorang pemimpin yang mengaku wira dunia ketiga tetapi beraja di mata, bersultan di hati. Negara kini di persimpangan, dan ini adalah peluang terbaik rakyat membuat perubahan…secara perlembagaan!

0 comments:

 
Powered By Blogger
Powered By Blogger
Powered By Blogger
© Grunge Theme Copyright by ustazazhargroup.blogspot.com | Template by Blogger Templates | Blog Trick at Blog-HowToTricks