Anwar Dalam Bicara 6



Amin Ahmad Saya difahamkan Anwar Ibrahim sedang memenuhi beberapa syarat sebelum meneruskan usaha menukar kerajaan melalui undi tidak percaya di dalam dewan. Saya tidak pasti sama ada Saiful Bukhari tahu akan syarat-syarat ini. Saya sendiri tidak arif tentang syarat-syarat ini jika ada, cuma tentu saja sebahagian daripada caranya ialah dengan Anwar sendiri bertanding, menang dan masuk semula ke Parlimen untuk melakukannya.
Saiful tahu Anwar sudah punya cukup orang untuk tujuan ini. Meskipun Saiful tidak menguruskan semua nama-nama Ahli Parlimen yang akan bersama Anwar, beliau dapat mengagak melalui pelbagai maklumat yang dibualkan.
Usaha menghalang Anwar ini sampai masuk ke peringkat beliau sanggup mengangkat sumpah beberapa waktu sebelum Anwar bertanding dalam Pilihan Raya kecil Permatang Pauh.
Saiful cuba membayangkan kepada orang ramai bahawa kejadian tersebut memang berlaku. Inilah permainan minda (mind game) yang cuba dibawa oleh Saiful agar rakyat perlahan-lahan boleh mempercayainya.
Ya, tentu saja keadilan kepada Saiful patut diberikan sama seperti keadilan kepada Anwar. Saiful mempunyai ruang seluas-luasnya diberikan media massa, dan ruang ini tidak untuk Anwar Ibrahim. Sebab itu saya katakan ini ialah perhitungan politik.
Penyokong Saiful berkeras mahu keadilan diberikan kepada Saiful dengan mendengar kes-nya di mahkamah. Untuk saya ini mereka ini bahalul yang memekakkan telinga, membutakan mata serta mengabaikan dhamir mereka untuk mengerti.
Tidaklah Anwar dan para pendokongnya menafikan bahawa Saiful berhak membawa kes ini ke mahkamah, namun mahkamah yang bagaimana boleh diharapkan?
Ada pula yang mengatakan bahawa Anwar telah menanam rasa tidak percaya dalam diri rakyat kepada mahkamah bagi menjustifikasikan bahawa beliau dizalimi jika mahkamah mensabitkan beliau bersalah. Hakikatnya mereka memang mahu mahkamah mensabitkan Anwar bersalah bagi membolehkan mereka terus wewenang berbuat negara ini seperti mak bapa mereka yang punya.
Mereka lupa bahawa jika rakyat tidak dapat mempercayai mahkamah, itu merupakan silap mahkamah sendiri yang gagal menunjukkan kebebasan mereka sebagai institusi.
Kita tidak perlu pergi jauh, cukup dengan melihat latar belakang Ketua Hakim Negara dan kaitannya dengan UMNO. Ya, ia mungkin dulu, tapi bukankah prinsip keadilan itu antara lain mesti dilihat adil? Kenapa bicara keadilan yang mereka katakan bersifat selektif?
Dengan kata-kata mereka itu cukup untuk menunjukkan biadapnya mereka meremehkan kemampuan rakyat berfikir.
Satu lagi peristiwa memalukan institusi negara ialah apabila laporan polis Saiful pada 28 Jun 2008 itu amat sukar untuk diserahkan kepada Anwar dan pasukan peguam bela-nya sedangkan ia adalah prosedur biasa yang tidak sukar. Tindakan ini juga adalah satu lagi bukti menjawab siapa yang melambatkan kes dan kenapa teori permainan minda (mind game) itu relevan untuk difikirkan.
Kenapa ia sukar diserahkan?
Kita boleh merujuk kes 1998 bila bekas pemandu Wan Azizah, Azizan Abu Bakar mengaku di mahkamah bahawa beliau bukan saja tidak diliwat tetapi juga ‘mengikut arahan’ Musa Hassan dalam keterangannya.
Jadi, tidak mustahil kita katakan bahawa salinan laporan polis ini begitu sukar diberikan kepada Anwar, waima sekitar sebulan laporan telah dibuat! Ini tidak lain dan tidak bukan satu usaha untuk menyiapkan ‘skrip’!
Laporan polis Saiful akhirnya diketahu umum berbunyi begini:
“Saya Mohd Saiful Bukhari b Azlan ingin melaporkan bahawa saya telah diliwat oleh majikan saya. Perkara ini berlaku tanpa kerelaan saya. Kejadian terakhir berlaku 26/6/08 di Unit 1151, Kondominium Desa Damansara, Jln Setia Kasih, KL. Oleh itu, tujuan laporan ini dibuat untuk mendapat pembelaan dan keadilan ke atas diri saya. Saya juga berasa bimbang dengan keselamatan diri dan keluarga saya jika perkara ini tersebar luas di khalayak ramai. Majikan saya Dato Seri Anwar Ibrahim – Ketua Umum PKR.”
Laporan polis bernombor 4350/08 Balai Polis Jalan Travers, Kuala Lumpur ini telah dibuat pada 28 Jun 2008 pukul 5.45 petang di Hospital Kuala Lumpur oleh Mohd Saiful Bukhari bin Azlan pemegang mykad 850706-01-5687.
Perhatikan laporannya:
Perkara tersebut dikatakan tanpa kerelaan Saiful, namun pertuduhan yang datang kemudian ialah dalam Seksyen 377B yang merujuk kepada perhubungan luar tabii secara sukarela.
Beliau menulis kali terakhir, membayangkan perbuatan tersebut pernah berlaku sebelumnya. Hakikatnya, pertuduhan yang dibincangkan di mahkamah hanya merujuk satu tarikh sahaja dan jika benar beberapa kali, dan tanpa rela, ia berbunyi sangat aneh.
Jika ia berlaku hanya sekali iaitu pada 26hb Jun sebagaimana didakwa, bagaimana isu ini boleh dibincangkan dengan DS Najib beberapa hari sebelumnya? Dan lebih aneh, selepas bincang dengan DS Najib dalam keadaan yang disebut ‘trauma’, boleh datang jumpa Anwar dan hadir dalam majlis Kelab Anwar Ibrahim (AIC) pada 27hb Jun?
Kes ini untuk saya pincang sejak mula. Namun mahkamah tetap mahu membicarakannya. Dalam realiti ini, kita konon diajak menunggu keputusan mahkamah oleh mereka yang takut mengambil sikap.
Mereka jauh lebih berpolitik berbanding kita!

0 comments:

 
Powered By Blogger
Powered By Blogger
Powered By Blogger
© Grunge Theme Copyright by ustazazhargroup.blogspot.com | Template by Blogger Templates | Blog Trick at Blog-HowToTricks